SUDAH melangkaui 14 bulan, kita masih bergelut dengan musibah yang melanda seluruh pelosok negara. Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ada bertitah bahawa norma baharu bertujuan untuk mengubah masa depan bersama agar dapat mengatasi pandemik Covid-19 dengan semangat keakraban dan pengorbanan seluruh rakyat.
Apakah sudah tiba masanya kita reda dan menganggap Covid-19 akan sentiasa mengancam kehidupan kita atau pasrah tanpa perlu membuat apa-apa dan bergantung kepada pengulangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pelbagai?
Apakah kita akan salahkan pihak berkuasa tanpa menyedari kita juga bertanggungjawab? Adakah pihak tertentu akan melepaskan ‘golongan terpilih’, manakala orang kebanyakan perlu akur?
Sememangnya mudah mengungkap di bibir bahawa ‘kita reda’ tetapi realitinya tidak semudah itu. Ramai berangga-pan ia ujian kekuatan dalaman dan menanti hikmah di sebaliknya. Sebagai manusia, kita juga ada akal dan emosi.
Walaupun mahu reda, ada kehimpitan, tekanan dan kemelut mental yang menguji ketenangan serta kesabaran diri sendiri. Pilihan upah atau nyawa, kesihatan atau ekonomi semakin meruncing.
Pada masa yang sama, aktiviti sosial lumpuh apabila tindakan berubah-ubah. Orang ramai marah dan kecewa. Isu asas mengapa ada rasa duka perlu dikenal pasti untuk mencari formula penyelesaian menang-menang.
Reda mengajak kita berbaik sangka, tawakal, bersabar dan mengerti. Itulah yang telah dan sedang dilakukan sebilangan besar rakyat Malaysia. Mereka memahami. Rakyat juga menyedari ancaman dan kelemahan yang menyebabkan pengulangan prosedur operasi standard (SOP) dilakukan pihak berwajib. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyatakan bahawa PKP 3.0 bukan keputusan popular.
Apa yang diragui adalah sikap segelintir yang berasakan mereka ‘luar biasa’ dengan berpandangan mereka boleh terlepas daripada persepsi umum dan mempunyai keupayaan bebas daripada tindakan kerana status diri. Persoalannya, bukan keberadaan tetapi di manakah keutuhan telapak keimanan tatkala yang lain bersedia reda?
Mangsa Media sosial menjadi taruhan yang memerhati, mengikuti dan menyalurkan informasi kepada umum. Ketidakpatuhan golongan ‘terpilih’ menyebabkan pihak berwajib yang sedia memberi persetujuan akhirnya menjadi mangsa kerana yang memohon kebenaran tidak mengikut apa yang dipersetujui. Ada yang memohon maaf dan mengulanginya.
Akhirnya, disebabkan segelintir itu, golongan majoriti yang reda, sabar dan bertawakal turut terkena tempiasnya. Saman, penjara atau virus menjadi ketakutan?
Masyarakat berasa tidak senang dan bosan. Ramai mahu berbaik sangka dengan ‘kluster diva’ tetapi jika berulang kali dilakukan seolah-olah tumpuan yang dicari. Perkongsian privasi menghukum. Apakah mereka sengaja uji ketaatan rakyat dengan dahagakan perhatian umum? Reda atau pasrah menjadi tumpuan.
Kita mengherdik, mengkritik dan menyuarakan rasa tidak puas hati melalui media sosial. Suara realiti dan suara politik perlu dipisahkan. Netizen faham jika satu peraturan yang sama digunakan tanpa batasan pangkat, kelas, kuasa dan kedudukan, nescaya tidak ada rungutan atau bantahan.
"Kita reda tetapi mengapa ada pilih kasih", kata mereka. Ia perlu dibendung untuk elak persepsi keyakinan kepada kerajaan dan pemimpin.
Banyak yang boleh kita pelajari sepanjang 14 bulan ini. Kreativiti umum semakin meningkat. Tiba-tiba ‘cincau’ menjadi perkataan tarikan umum untuk melontar rasa tidak puas hati. Penilaian mindset juga sudah berubah. Pemetaan ekspektasi sudah tidak sama. Koordinasi pihak berkepentingan berubah-ubah, namun kita bersyukur kerana musibah ini mengajar kita erti kemanusiaan dan maruah diri. Komuniti alam maya ketara bersatu apabila wujud isu yang memerlukan kebangkitan suara mereka.
Ia juga mengajar kita erti bagaimana mengurus krisis bukan sahaja pada peringkat persekutuan atau negeri tetapi lebih daripada itu, krisis diri. Walau ‘reda’, kesemuanya ada batasan.
Garis itu perlu dipangkah dengan tegas agar nilai ‘reda’ dihormati dan difahami. Hatta, kepatuhan kepada penetapan peraturan akan memudahkan segala urusan kita pada hari-hari mendatang.
*Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia