Pulihkan segera ekonomi negara

Iklan

PETANDA bahawa ekonomi sesebuah negara sedang dalam keadaan sukar adalah apabila kadar penguncupan yang rendah dipersembahkan sebagai petanda baik.

Itulah yang berlaku kepada ekonomi Malaysia akibat krisis Covid-19 yang memasuki tahun kedua. Ketidakstabilan politik memburukkan lagi keadaan.

Iklan
Iklan

Seperti telah dilaporkan, beberapa kategori penarafan antarabangsa telah merosot dan beberapa buah syarikat asing dengan pelaburan berpuluh bilion ringgit telah mengumumkan akan berpindah ke negara jiran, khususnya Indonesia dan Vietnam.

Dalam suku pertama tahun ini iaitu dari Januari hingga Mac, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kuncup sebanyak 0.5 peratus. Maksudnya, ia menjadi lebih kecil dengan kadar setengah peratus.

Iklan

Dalam keadaan biasa, kesihatan ekonomi diukur dengan kadar pertumbuhan. Misalnya, bagi tahun 2019 iaitu sebelum Covid-19 dan ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH), ekonomi kita berkembang pada kadar 4.3 peratus.

Itu pun sudah dianggap tidak memuaskan dan berbahaya kerana ia adalah kadar paling rendah sejak ekonomi negara pulih daripada krisis ekonomi global pada 2008.

Iklan

Ketika itu, Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, pertumbuhan suku terakhir 2019 – Oktober hingga Disember – sebanyak 3.6 peratus adalah paling rendah dalam tempoh 41 suku tahun sejak suku ketiga tahun 2009.

Namun pada sidang media 11 Mei lalu, Nor Shamsiah memberi gambaran bahawa penguncupan 0.5 peratus pada suku pertama tahun ini adalah 'petanda positif ekonomi sedang pulih’.

Malah, beliau begitu yakin Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pusingan ketiga yang sedang berkuat kuasa tidak akan memberi kesan besar kepada pertumbuhan kerana hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.

Demikianlah perangkaan dan data ekonomi diinterpretasi atau kata sesetengah orang, dimanipulasi bagi memberi hasil terbaik kepada pihak-pihak yang berkepentingan seperti Bank Negara.

Inflasi

Tugas hakiki Bank Negara adalah melaksanakan dasar mata wang, menyelia sistem perbankan dan menyediakan perkhidmatan kewangan termasuk penyelidikan ekonomi dengan tujuan menstabilkan mata wang, mengekalkan kadar pengangguran yang rendah dan mengawal inflasi.

Seperti ramai orang maklum atau mengalami sendiri, ada antara tugas itu yang tidak terlaksana. Nilai ringgit makin rendah berbanding dolar Amerika dan mata wang negara-negara yang setaraf dengan kita.

Dari aspek kadar tukaran sebenar atau dalam bahasa Inggeris, Real Exchange Rate (REER), nilai ringgit bagi Mac tahun ini adalah 9.5 peratus di bawah kadar tahun 2005.

Nilai ringgit Malaysia amat bergantung kepada harga barangan utama seperti petroleum dan gas, kelapa sawit dan getah. Kadar pengangguran melambung akibat sekatan ke atas kegiatan ekonomi, khususnya pengilangan, pengangkutan dan pelancongan. Inflasi pula meningkat kerana rantaian pengeluaran dan pembekalan tersekat.

Jadi, bagi Gabenor Bank Negara, penguncupan 0.5 peratus itu memberi petanda baik kerana pada suku sebelumnya iaitu dari Oktober hingga Disember 2020, ekonomi negara menguncup 3.4 peratus.

Pada suku pertama 2020, ketika Covid-19 mula menular di Malaysia, KDNK berkembang pada kadar 0.7 peratus. Menjelang suku kedua, apabila PKP mula diperkenalkan, ekonomi menguncup 17.1 peratus kerana hampir semua sektor ekonomi diarahkan tutup.

Daripada pengalaman itu, kita tahu kerajaan tidak boleh memaksa sekatan kegiatan ekonomi sebagai kaedah utama menyekat Covid-19.

Suka atau tidak, kita terpaksa mengimbangkan antara kawalan penularan wabak dan keperluan memulihkan semula ekonomi secara besar-besaran.

Jika tidak, kita bukan sahaja akan terus berdepan risiko mati kerana Covid-19, kita juga berkemungkinan mati atau terencat kerana berkurangan makanan.Tanda-tanda awal kebuluran sudah pun mula kelihatan dalam kalangan rakyat miskin di bandar. Keadaan tidak semestinya lebih baik dalam kalangan rakyat miskin di luar bandar, cuma tidak banyak kajian dilakukan terhadap mereka.

Wallahualam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara