Lunaskan tunggakan sebelum hujung bulan

Iklan

PENGURUSAN Perak FC diminta untuk segera melunaskan tunggakan gaji dalam kalangan pemain The Bos Gaurus bagi bulan April sebelum hujung bulan ini.

Menurut sumber rapat skuad Bos Gaurus itu, biarpun pihak pengurusan telah melunaskan tunggakan gaji bulan Mac sebelum Hari Raya Aidilfitri, namun bayaran bagi April dikhuatiri akan tertunggak sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Sekiranya gaji bulan April nanti turut tertunggak, ia dikhuatiri akan terus melarat sehingga melibatkan bulan-bulan yang lain pula.

"Kalau ikutkan, bayaran untuk gaji April akan dibayar kepada pemain sebelum raya. Gaji untuk bulan Februari, Mac dah pun settle (selesai).

Iklan

"Tapi sehingga hari ini, difahamkan masih tidak ada apa-apa maklumat (update) untuk bayaran gaji April dan rasanya mungkin akan tertunggak lagi.

"Oleh itu, diharapkan agar masalah gaji tertunggak macam ni dapat diselesaikan cepat kerana dikhuatiri ia (tunggakan) akan berulang lagi,” kata sumber berkenaan kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Iklan

Pada sidang media 9 Mei lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Rizal Ali Naizali menjelaskan pihaknya akan berusaha untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain bagi April sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Namun difahamkan, sehingga ke hari ini masih belum ada apa-apa perkhabaran berhubung perkara berkenaan (selesaikan tunggakan gaji), diumumkan oleh pihak pengurusan Perak FC berhubung tunggakan berkenaan.

Masalah tunggakan gaji itu juga dipercayai menjadi faktor kepada kapten, Shahrul Saad dan Guilherme De Paula untuk memilih menyertai Johor Darul Ta’zim manakala Kenny Pallraj dan J Partiban membawa haluan bersama KL City FC.

Menurut sumber berkenaan, beberapa pemain juga difahamkan bakal meninggalkan Bos Gaurus itu menjelang tarikh tutup jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) hujung bulan ini.

Untuk rekod, Perak FC berada pada kedudukan ke-10 Liga Super pada ketika ini dengan mengumpul 12 mata hasil tiga kemenangan, tiga seri dan tujuh kekalahan setelah mengharungi 13 perlawanan.

Mengulas permohonan maaf Setiausaha Perak FC berkenaan kenyataannya sebelum ini yang hanya memberikan keutamaan kepada pemain The Bos Gaurus yang ada 'jiwa' dan mahu berjuang sehingga menimbulkan kecaman pelbagai pihak, sumber tersebut berkata"Kenyataan sedemikian tidak sepatutnya dikeluarkan.

"Dalam situasi semasa beliau tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana ia mungkin telah menyebabkan salah faham dalam kalangan pemain.

"Biarpun telah membuat permohonan maaf, namun perkara telah pun terjadi dan ada pemain yang telah pun meninggalkan pasukan. Dah tak boleh buat apa.

"Mungkin apa yang disampaikan itu telah disalah erti oleh pemain berdasarkan situasi semasa. Mungkin yang dimaksudkan lain tetapi pemain faham lain.

"Maklumlah keadaan tengah serabut, tengah ‘panas’ dan perkara itu (kenyataan) tidak sepatutnya berlaku,” katanya.