[WAWANCARA] Menyedari pembelian dalam talian kini menjadi trend baharu susulan pandemik Covid-19, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang meneliti untuk membuat pindaan terhadap undang-undang bagi melindungi hak pengguna.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pindaan atau penggubalan rang undang-undang baharu perlu dibuat memandangkan pasukan penguat kuasa belum mempunyai kuasa menyeluruh berkait perniagaan online itu.
Dalam wawancara bersama Sinar Ahad minggu ini, Nanta turut berkongsi isu kenaikan harga barang dan penetapan harga siling barang keperluan yang sering menimbulkan perasaan tidak puas hati pengguna dan peniaga.
Ikuti wawancara wartawan Raiham Mohd Sanusi dan Mukhriz Mat Husin bersama Nanta di Putrajaya baru-baru ini.
SINAR AHAD: Apakah perkara paling mencabar yang Datuk Seri lalui dalam menangani isu-isu pengguna ketika ini?
NANTA: Ya, ketika ini kementerian menumpukan usaha untuk mengawal harga barang keperluan khususnya pada musim perayaan Aidilfitri.
Ada dakwaan mengatakan harga naik mendadak tetapi apabila penguat kuasa kementerian turun padang untuk buat siasatan, kita dapati memang ada kenaikan tetapi tidaklah mendadak. Selain harga, peranan utama kami adalah memastikan barangan sentiasa mencukupi di pasaran.
Dalam isu harga dan bekalan barangan yang sangat sensitif bagi rakyat dan pengguna, kami perlu membuat advokasi iaitu memberi penerangan dan informasi supaya mereka faham bahawa prinsip (harga barang) adalah berkait dengan bekalan dan permintaan.
Selain itu, mereka juga harus tahu bahawa barangan import, harganya dipengaruhi oleh perkara yang di luar bidang kuasa kita.
Kenapa saya kata begitu? Misalnya bawang merah import dari India, memang ia banyak bergantung kepada bagaimana keadaan di India semasa musim menuai kerana pada tahun lepas berlaku masalah pengeluaran ekoran kemarau yang berpanjangan dan menjejaskan produktiviti bawang ini.
Mengenai harga ayam pula, kita dapati harga ayam bergantung kepada dedak atau makanan ayam. Sebahagian besar dedak ayam ini terpaksa kita beli atau import dari luar negara.
Apabila harga naik, kita tak ada pilihan lain, maka kita kena tanggung juga kenaikan harga dedak ayam ini yang kemudian mempengaruhi harga ayam. Sebab itu kita perlu buat advokasi atau libat urus dengan pengguna.
- Sejak menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna lebih setahun lalu, apakah usaha-usaha Datuk Seri untuk memperbaiki taraf hidup rakyat?
Perkara paling penting bagi saya adalah bagaimana kementerian ini boleh membantu mensejahterakan rakyat menerusi kos sara hidup yang berpatutan. Sebelum menerajui kementerian ini lagi, saya sedar tentang kos sara hidup yang tinggi pada masa itu.
Jadi apabila datang ke kementerian ini saya tumpu kepada akta, peraturan, strategi sedia ada dan bagaimana saya dapat mencari ruang untuk buat penambahbaikan.
Beberapa libat urus telah kita jalankan bersama pemain industri termasuk perniagaan dalam talian, perniagaan francais dan peruncit biasa, pasar raya besar, pasar raya, syarikat pengedaran dan syarikat penyedia perkhidmatan.
Kita faham perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah kawal selia KPDNHEP yang terlibat dalam aktiviti pengedaran, borong dan perdagangan runcit, memang banyak menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kita.
Ia juga menyumbang kepada peluang pekerjaan. Saya melihat ada peluang dan ruang untuk kita turunkan kos operasi perniagaan. Jadi dengan adanya Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) iaitu agensi di bawah kementerian ini, ia telah banyak menjalankan inisiatif bagi membantu perniagaan seperti moratorium, pengecualian fi, pengecualian kompaun, menurunkan kompaun dan menaikkan ambang keterhutangan.
Dulu ambang keterhutangan RM10,000 ke atas, mana-mana peniaga boleh dibawa ke mahkamah untuk dituntut apabila syarikat itu ada hutang. Ini adalah inisiatif yang saya fikir amat membantu komuniti perniagaan kita.
- Baru-baru ini penternak ayam dan lembu mengeluh harga makanan haiwan tersebut melambung. Boleh Datuk Seri jelaskan keadaan ini?
Saya mahu jelaskan bahawa harga lembu yang kita kawal adalah lembu tempatan. Baru-baru ini saya akui ada mendengar keluhan dan kemarahan pengguna serta penjual. Penjual kata harga maksimum RM34 sekilogram yang kita tetapkan bagi daging lembu tempatan adalah terlalu rendah.
Sebenarnya sebelum meletakkan had harga, kita gunakan mekanisme biasa. Kita ada jawatankuasa dalam kementerian yang melibatkan pegawai berpengalaman. Kita juga buat konsultasi bersama MAFI, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan peniaga-peniaga.
Selepas sesi itu baharulah kita letakkan harga. Ia bukannya dilakukan sesuka hati KPDNHEP. Memang kita tak dapat jamin semua pihak puas hati 100 peratus.
Sebenarnya dalam seekor lembu, bukan semua anggota badan lembu dikenakan had harga maksimum tetapi sebahagian sahaja iaitu daging.
Bahagian yang lain tidak ada kawalan. Itu rakyat perlu tahu dan peniaga pun tahu. Mereka boleh jual tanpa kawalan harga untuk bahagian lain.
Jadi keluhan dan kemarahan tentang had harga daging itu seolah-olah semua bahagian daging itu tertakluk pada had harga adalah tidak benar. Kalau kita tidak kawal akan berlaku situasi harga semua bahagian lembu akan naik mendadak dan pengguna pula marah selain ia tidak adil kepada pengguna.
- Bagaimana Datuk Seri melihat isu penyelewengan minyak subsidi sekarang? Adakah ia berada pada tahap yang membimbangkan?
Kerajaan membantu secara kewangan untuk membolehkan minyak masak sawit bersubsidi dibeli oleh pengguna berpendapatan rendah pada harga RM2.50 sekilogram. Kalau harga pasaran biasa yang tertakluk pada bekalan dan permintaan, sudah tentu harga minyak masak sawit ini tidak dapat dijual pada harga ini.
Ketika ini, harga minyak sawit sudah naik di pasaran dunia dan dalam masa yang sama kerajaan berbelanja ratusan juta ringgit setahun untuk meluluskan 60,000 tan metrik minyak masak kepada rakyat setiap bulan.
Jika harga minyak sawit dunia masih kekal tinggi melebihi RM4,000 satu tan, kita mungkin terpaksa berbelanja lebih RM1 bilion untuk subsidi.
Bagaimanapun, ada aduan tentang harga minyak masak sawit dijual mahal dan apabila kita buat pemantauan, harga minyak yang disebut itu bukan yang bersubsidi iaitu minyak masak yang dijual dalam botol 3 kilogram, 5 kilogram, dalam tin 7 dan 10 kilogram. Minyak itu tiada subsidi dan ikut harga pasaran semasa. Sesiapa nak beli, belilah tak ada masalah tapi jangan keliru dengan mempersoalkan harga terlalu mahal. Sebab kerajaan beri bantuan kepada rakyat menerusi subsidi minyak masak yang dijual dalam pek satu kilogram.
Mengapa satu pek sahaja satu kilogram? Sebab untuk keluarga yang kurang berkemampuan atau B40, untuk kegunaan sendiri mereka mampulah beli dua tiga pek.
Kalau kita buat dalam bungkusan besar, nanti restoran atau pihak yang meniaga turut membelinya dan akan berlaku ketirisan sebab mereka ini bukan golongan sasar yang hendak dibantu. Mereka ini orang berniaga. Kita tak mahu pengguna komersial beli juga minyak masak bersubsidi ini.
- Jadi adakah kementerian ada membuat pemantauan dari segi pembelian minyak subsidi ini agar ia benar-benar dinikmati golongan sasar?
Kita tidak perlu memantau pengguna sebab pengguna membuat pilihan sendiri. Kami memantau dengan ketat di peringkat kilang yang memproses pembungkusan atau sering disebut sebagai repackers. Sebabnya, mereka ini diberi kuota pada setiap bulan.
Sekiranya sebuah kilang diberi 200 tan untuk membuat pembungkusan minyak masak bersubsidi, mereka perlu mengeluarkan daripada kilang mereka dan masuk ke pasaran serta dijual kepada kedai-kedai runcit dan pasar raya.
Itu kita pantau dan kita telah dapat mengesan terdapat pengilang yang didapati melakukan penipuan. Menipu bagaimana? Kalau mereka ada 200 tan metrik untuk sebulan tetapi mereka buat separuh sahaja dan separuh itu mereka jual dengan harga yang tiada subsidi. Walhal kerajaan sudah bantu pengilang dengan memberikan subsidi tetapi dia tidak laksanakan.
Perbuatan ini menyebabkan mereka dapat keuntungan yang banyak. Jadi siapa yang tertipu? Kerajaan dan rakyat tertipu.
- Bagaimana Datuk Seri melihat peniaga di negara ini. Adakah peniaga di Malaysia tamak kerana sering menaikkan harga sesuka hati?
Janganlah tuduh peniaga tamak tetapi peniaga ini kalau mereka dapat untung, mereka akan cuba dapat keuntungan yang lebih lagi. Jadi memang ada yang ghairah (mengejar keuntungan).
Keseluruhannya, saya nampak di Malaysia ini, kita ada masyarakat peniaga yang vibrant dan dinamik.
Mereka ini boleh dikatakan mengikuti dengan rapat terhadap reaksi pasaran, sebab itu apabila ada saja senario kekurangan bekalan, mereka dengan cepat menaikkan harga sebab orang tetap datang nak membeli beramai-ramai, mungkin peniaga melihat ada peluang. Ia semula jadi dan biasa.
Jadi kalau dia tidak dapat jual sebab orang kurang datang, mungkin dia akan turunkan harga dan buat jualan murah. Sebab itu saya kata peniaga di negara kita boleh dikatakan bijak juga sebab reaksi mereka kepada situasi semasa.
Selain itu, ada sebahagian peniaga mengambil peluang untuk mengaut keuntungan yang tidak berpatutan. Apabila mereka tahu undang-undang sedia ada mungkin tidak mencukupi untuk menyalahkan mereka, maka ada ruang untuk mereka membuat sesuatu yang tidak beretika.
Kalau kita melihat sekarang, lebih ramai peniaga menggunakan perniagaan dan transaksi dalam talian dan kita pula belum ada punca kuasa yang menyeluruh untuk menangani isu-isu perniagaan dalam talian ini tadi.
Jadi itulah solusi yang kita akan fokus pada masa akan datang iaitu bagaimana kita boleh membuat penambahbaikan serta memastikan peralatan dan keperluan yang mencukupi untuk melaksanakan tugas penguatkuasaan. Ini kerana sekarang sangat rumit untuk mengenal pasti peniaga menggunakan teknologi canggih untuk menipu.
- Adakah ada cadangan untuk menggubal rang undang-undang bagi menangani masalah ini?
Kita sekarang banyak buat sesi perbincangan antara pegawai-pegawai untuk melihat di mana sepatutnya kita membuat penambahbaikan dan di mana perlu kita buat pindaan kepada rang undang-undang.
Kami pada peringkat awal sudah melakukannya. Jadi kami berharap lebih banyak libat urus bersama pemain-pemain industri dapat dibuat untuk mendapatkan maklum balas dan maklumat.Kita perlu juga syor-syor daripada mereka sebab mereka yang buat bisnes itu, jadi mereka tahu.
Selepas itu kita buat rundingan dan perancangan, kemudian barulah kita sampai kepada penggubalan atau pindaan rang undang-undang sedia ada ataupun kita gubal undang-undang baru yang lebih tepat untuk menangani masalah penipuan cara baru ini.
Di media sosial, kementerian sering menjadi sasaran dan serangan daripada para netizen. Apakah langkah kementerian bagi menangani isu-isu berkenaan?Kita memang sensitif terhadap apa saja yang dibangkitkan ataupun kritikan kepada KPNDHEP. Kita tidak pernah tidak endah sebab faham kalau kita terima aduan, teguran, syor-syor itu adalah untuk membantu kementerian membuat penambahbaikan.
Selepas itu, kita juga buat pemantauan dan mencari jalan penyelesaian untuk isu itu.
Saya beri contoh, di seluruh negara kita ada 52 Pusat Arahan Penguatkuasaan atau ECC. ECC ini beroperasi 24 jam sehari, kalau ada berlaku kenaikan harga atau ketiadaan barang, apabila kita terima aduan, kita kerah anggota penguat kuasa kita serta-merta.
Sebab itu, kami di kementerian ini dapat mengesahkan sesuatu perkara dalam masa yang singkat, kita dapat mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.
- Ada kita terima aduan yang mengeluh kenaikan harga, tetapi (maklumat itu) terlalu umum. Harga naik di mana, harga apa, naik berapa?
Kalau ada kedai, sebutlah kedai di mana, pasar mana, barulah kita boleh mengambil tindakan yang lebih berkesan.
Tetapi apabila aduan mereka dalam sosial media mengatakan harga naik, naik di mana? Kami tidak boleh ke tempat itu sebab terlalu umum. Kita bukan tidak mahu ambil tindakan. Tetapi lebih elok kalau betul-betul berlaku, janganlah buat aduan sesuka hati, tidak berasas atau terlalu umum.
Bagaimana Datuk Seri melihat isu-isu pengguna pada masa depan terutama ketika negara masih berhadapan dengan pandemik Covid-19?Saya rasa penyakit Covid-19 ini mungkin tidak akan hilang sepenuhnya sama seperti malaria, tibi dan penyakit lain-lain. Cuma bagaimana kita nak menangani penyakit tersebut. Sebab itu yang paling penting adalah prosedur operasi standard atau SOP yang memerlukan kita mengelakkan jangkitan. Jadi bolehlah kita hidup secara biasa.
Maknanya nelayan dapat pergi ke laut menangkap ikan, petani boleh ke sawah, penternak dapat menjalankan urusannya seperti biasa dan sebagainya.
Pada masa depan, norma baru akan membimbing bagaimana kita meneruskan kehidupan biasa. Keadaan itu juga akan mempengaruhi harga dan bekalan barangan.
TRIVIA
- Gemar baca berita dalam talian
Dulu sebelum saya menjadi menteri, saya selalu berada di kawasan Parlimen saya, Kapit di Sarawak. Masa lapang pun kurang sebab kalau duduk di rumah pun, ramai yang datang ke rumah mohon berbincang, mohon bantuan dan sebagainya. Untuk rekreasi, saya dulu main golf. Sekarang tiada peluang untuk bermain sebarang aktiviti sukan. Apatah lagi dalam tempoh setahun sejak berada dalam kementerian di Kuala Lumpur dan juga pada waktu perintah kawalan pergerakan. Nak buat apa lagi, duduk di rumah sajalah. Tetapi ada kebaikannya juga kerana ada masa untuk membaca apa yang perlu seperti laporan terkini. Sekarang kita menggunakan internet, jadi masa lapang saya banyak dihabiskan di depan komputer untuk membaca berita dalam talian dan sebagainya.
- Kongsi gambar aktiviti dalam Facebook
Saya bukanlah seorang yang aktif dengan media sosial. Saya ada Facebook yang mana saya tumpu pada kerja saya. Kalau ada program yang saya ingin kongsikan, saya akan siarkan di Facebook. Twitter pun saya tidak aktif sangat, tetapi saya ada pembantu (yang mengendalikan Twitter). Jadi walaupun tidak begitu terlibat dalam media sosial tetapi saya masih menggunakannya. Bagi saya itu adalah norma baru dalam dunia moden. Tidak boleh kita tidak bersama dalam menggunakan teknologi informasi masa kini.
- Dipilih sebagai calon dalam usia muda
Apabila saya mula-mula dicalonkan oleh parti untuk bertanding pilihan raya, saya masih muda lagi (32 tahun). Dalam keadaan yang tidak menentu di Sarawak pada tahun 1991, ada pihak mahu gulingkan kerajaan negeri.
Saya rasa masih belum bersedia tetapi mungkin parti (PBB) memerlukan saya ke depan sebagai orang muda tetapi saya kalah. Walaupun kalah, saya dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri ketika itu, Tun Abdul Taib Mahmud. Jadi di situlah permulaan saya dalam dunia politik yang tidak boleh dilupakan.