Malaysia usaha cari jalan hulur bantuan ke Palestin: Muhyiddin

Iklan
Muhyiddin Yassin

SHAH ALAM - Malaysia akan sentiasa berusaha dalam mencari jalan untuk menghulurkan bantuan yang sewajarnya bagi membantu meringankan kesukaran rakyat Palestin.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Malaysia juga giat dalam menganjurkan bantuan kemanusiaan serta bersolidariti penuh ke atas perjuangan rakyat Palestin.

Iklan
Iklan

"Saya menzahirkan ucapan takziah dan dukacita bagi pihak seluruh rakyat Malaysia atas kehilangan nyawa serta kecederaan yang dialami rakyat Palestin akibat serangan ganas rejim Israel.

"Saya turut menegaskan pendirian serta usaha-usaha yang telah dan sedang diambil Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin tatkala menghadapi detik yang sukar ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Iklan

Pada Sabtu, Muhyiddin telah menerima panggilan telefon daripada ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyya yang berada di Semenanjung Gaza bagi memaklumkan situasi semasa yang di Palestin terutamanya di Gaza.

Muhyiddin turut terkesan mendengar perkhabaran berhubung keadaan masyarakat Islam di Palestin, khususnya Semenanjung Gaza yang amat menyedihkan serta menyayat hati.

Iklan

"Beliau (Ismail Haniyya) sangat menghargai keprihatinan rakyat Malaysia terhadap penderitaan rakyat Palestin dan berterima kasih atas bantuan berterusan yang telah diberikan,” ujarnya.

Sehingga Sabtu, rejim Zionis terus menyerang Genting Gaza dan menyasarkan lebih 700 sasaran milik Hamas termasuk bank pusat dan bangunan unit keselamatan gerakan terbabit.

Lebih 100 termasuk 27 kanak-kanak dan 11 wanita Palestin terkorban manakala kira-kira 580 yang lain cedera sejak rejim Zionis kembali melancarkan kempen ketenteraan ke atas Genting Gaza sejak Operasi Penjaga Tembok dilancarkan pada Isnin lalu.