Pergiat hubungan diplomatik untuk bela rakyat Palestin: Tok Mat

Iklan
Mohamad Hasan

SHAH ALAM - Malaysia perlu mempergiatkan hubungan diplomatik bersama negara Islam lain dalam usaha menyelamatkan rakyat Palestin yang terkesan berikutan kekejaman rejim zionis Israel ketika ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia telah lama menjadi pendokong perjuangan kedaulatan negara Palestin dan sokongan tersebut perlu dipergiatkan dengan usaha diplomatik yang berganda, serius serta mempunyai impak.

Iklan
Iklan

"Saya berkongsi pandangan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad bahawa penyelesaian damai mesti segera diusahakan bagi mengendurkan konflik di Palestin waktu ini.

"Justeru, Malaysia wajar mempergiatkan usaha diplomatiknya dan menyokong usaha negara seperti Turki, Tunisia dan Mesir bagi meredakan keadaan di Palestin,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Sabtu.

Iklan

Dalam pada itu, Mohamad meminta rakyat Malaysia memainkan peranan dengan menggiatkan segala ikhtiar kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin di Jerusalem dan Gaza.

Menurutnya, konflik ketenteraan itu telah bertukar menjadi krisis kemanusiaan yang mana masing-masing memerlukan bantuan seperti tempat tinggal, makanan dan perubatan.

Iklan

"Kesemua hospital pada ketika ini pula beroperasi dalam keadaan kemudahan dan perubatan yang terhad, malah keadaan menjadi lebih teruk apabila pandemik Covid-19 semakin memburuk.

"Marilah kita semua tampil segera, menyumbang setakat yang mampu kepada semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai operasi di Palestin,” katanya.