KUANTAN- Pembangunan negeri Pahang dirancang dan dilaksanakan secara lebih holistik dalam aspek fizikal, ekonomi, sosial, modal insan dan penjagaan alam sekitar.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setiap tindakan yang dilaksanakan berteraskan elemen-elemen keseimbangan dengan mengambil kira setiap sudut kepentingan supaya ia dapat dilaksanakan tanpa ada pihak yang tercicir.
"Sepanjang tiga tahun saya menerajui pentadbiran negeri, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif baharu bagi manfaat rakyat Pahang termasuk dalam aspek kewangan di mana kita berjaya meningkatkan kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM58.3 billion.
"Pada masa sama dalam tempoh itu, kerajaan negeri turut berjaya mengurangkan kadar hutang negeri dari RM 3.22 billion kepada RM931 juta dan merekodkan kutipan hasil tertinggi dengan nilai RM850.4 juta," katanya melalui satu kenyataan menerusi Facebooknya pada Ahad.
Wan Rosdy yang dilantik sebagai Menteri Besar Pahang pada 15 Mei 2018 berkata, Pahang menjadi negeri paling aktif dalam melaksanakan pelbagai inisiatif pemuliharaan alam sekitar dengan memulihkan semula sungai-sungai yang tercemar, pertambahan kawasan hutan simpan dan melaksanakan program pemuliharaan yang ekstensif di kawasan-kawasan hutan tadahan hujan.
Katanya, dalam aspek bantuan rakyat pada waktu kecemasan, kerajaan negeri telah meningkatkan keupayaan jentera pentadbiran negeri dalam pengurusan bencana termasuk dengan memberikan bantuan segera dan bantuan susulan kepada mangsa-mangsa bencana.
"Selain itu kerajaan negeri juga menambahbaik dan melaksanakan projek-projek pembangunan rakyat seperti perumahan rakyat termiskin, penyediaan peluang-peluang latihan dan pekerjaan, peningkatan kualiti pembinaan fasiliti awam serta sektor perkhidmatan awam bagi manfaat semua rakyat Pahang.
"Walaupun dalam keadaan ekonomi dunia yang malap ketika ini, Pahang tetap berupaya menarik lebih banyak pelaburan dari dalam dan luar negara di mana dalam tempoh tiga tahun ini kita telah menerima pelaburan bernilai RM1.134 bilion dari Singapura dan RM1.12 bilion dari Thailand," katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri sentiasa optimis walaupun terpaksa berhadapan dengan cabaran seperti pandemik Covid-19 dan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, kerana Pahang mempunyai ekosistem pembangunan dan mekanisma pelaksanaan yang lengkap bagi menghadapi apa jua situasi yang mendatang.
"Insya-ALLAH, akan ada lebih banyak lagi polisi dan inisiatif baharu yang akan diumumkan pada masa akan datang.
"Pelaksanaan pembangunan yang berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan ini akan memacu negeri Pahang untuk terus unggul di rantau ini," katanya.