11 lelaki leka minum air ketum 'berjemaah' dicekup

Iklan
Seramai 11 lelaki ditahan ketika sedang leka meminum air ketum di dalam sebuah pondok Flat Sri Bagan Dalam, Butterworth pada Sabtu.

KEPALA BATAS - Keasyikan 11 lelaki menikmati air ketum terbantut apabila mereka ditahan polis di dalam sebuah pondok berhampiran Flat Sri Bagan Dalam, Butterworth pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kegiatan kumpulan berkenaan dikesan oleh pasukan polis yang sedang melakukan Op Pematuhan SOP 3.0 di kawasan terbabit pada jam 6.02 petang.

Iklan
Iklan

"Kesemua mereka juga gagal mengamalkan penjarakan fizikal malah ada antara mereka yang tidak memakai pelitup muka.

"Berikutan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang dilakukan mengakibatkan mereka yang berusia antara 19 hingga 53 tahun masing-masing dikompaun RM1,500 setiap seorang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Noorzainy berkata, dalam tinjauan yang dilakukan semalam, pihaknya juga mengeluarkan kompaun terhadap 14 individu yang dikesan beriadah dan berkelah di Pantai Bersih di sini tanpa mengikut SOP ditetapkan.

Kelihatan beberapa individu sedang mandi laut di Pantai Bersih, Kepala Batas semasa pemantauan pematuhan SOP PKP, pada petang Sabtu.

Selain itu katanya, pihaknya juga mengesan tindakan beberapa individu yang menaiki satu kereta lebih daripada tiga orang malah masih terdapat cubaan merentas daerah tanpa kebenaran dilakukan yang jelas melanggar SOP PKP.

Iklan

"Semalam sahaja sebanyak 38 kompaun bernilai RM65,000 keseluruhan dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan ingin saya tegaskan di sini pihak berkuasa tidak akan berkompromi dengan mereka yang memandang ringan dan mengabaikan SOP walaupun amaran serta nasihat berulang kali diberikan.

"Kita akan memperkasakan lagi pemantauan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP sepanjang tempoh PKP ini dalam memutuskan rantaian Covid-19 di negara ini," katanya.