SHAH ALAM - Guru tidak seharusnya dibebankan dengan tekanan yang boleh mengakibatkan kemenjadian murid tidak dapat dicapai.
Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) menerusi satu kenyataan berkata, kegembiraan dan kasih sayang dalam kalangan guru perlu dikembalikan kerana ia adalah sinar kejayaan negara dan generasi mendatang.
Menurut mereka, cabaran guru kini semakin getir ketika negara sedang berperang dengan pandemik Covid-19.
"Norma baharu memaksa guru menjadi lebih kreatif, proaktif serta mengusahakan pendekatan di luar kerangka keselesaan dan konvensional demi memandaikan anak-anak bangsa.
"Guru adalah tonggak pendidikan negara dan merekalah harapan untuk mendidik anak bangsa, sekali gus mencorakkan masa depan negara,” kata jawatankuasa berkenaan dalam satu kenyataan pada Ahad.
Kenyataan bersama itu melibatkan Dr Maszlee Malik selaku Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan serta Nik Nazmi Nik Ahmad mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR), Teo Nie Ching (DAP) dan Datuk Dr Hasan Baharom (Parti Amanah Negara).
Jawatankuasa tersebut turut menganggap guru sebagai insan istimewa yang menyuburkan jiwa-jiwa merdeka.
"Guru bukan sahaja mendidik, malah menumbuhkan jati diri anak didik sehingga mampu mendepani kehidupan dengan berani,” kata mereka.
Menurut mereka, guru adalah nadi penggerak utama yang berkorban tenaga dan masa demi memastikan setiap daripada kita tidak mendewasa dalam kejahilan.
"Guru adalah penyusur, peneroka, pembina asas kejayaan bangsa. Tanpa mereka, nusa ini akan goyah, watan ini akan rebah,” kata mereka.