Misteri bau busuk terungkai, warga emas ditemui mati dalam rumah

Iklan
Pasukan bomba memakai sut PPE membantu membuka pintu rumah untuk membawa keluar mayat lelaki warga emas di Taman Ipoh, Ipoh pada Ahad. - Foto: Ihsan Bomba

IPOH - Bau busuk dari sebuah rumah membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki warga emas di Taman Ipoh di sini pagi Ahad.

Difahamkan, kejadian itu disedari jiran mangsa yang menghidu bau busuk dari rumah lelaki terbabit yang dianggarkan berusia 67 tahun sebelum menghubungi polis pada jam 11.10 pagi.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, jiran tersebut turut memaklumkan bahawa lelaki itu tidak kelihatan sejak tiga hari lalu.

"Pemeriksaan mendapati mayat seorang lelaki berada di dalam rumah namun mereka gagal masuk ekoran pintu rumah yang berkunci.

Iklan

"Pasukan bomba telah dihubungi bagi membantu membuka pintu dengan memotong jeriji besi di belakang rumah terbabit," katanya.

Menurutnya, mangsa dianggarkan telah mati dalam tempoh lima hari dan usaha mengesan butiran diri mangsa dan waris sedang dilakukan.

Iklan

"Kita akan melihat sejarah perubatannya di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

"Polis lengkap memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) mengambil mayat sebelum dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk ujian Covid-19 serta bedah siasat," katanya.

A Asmadi berkata, siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan mati mengejut.