PORT DICKSON - Tiga individu dikenakan kompaun kerana merentas daerah dan negeri tanpa kebenaran pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kesemua mereka berusia antara 34 hingga 37 tahun, ditahan semasa berada di pantai Port Dickson.
"Semasa pemeriksaan dilakukan, mereka gagal menunjukkan permit kebenaran merentas daerah atau negeri, memandangkan dua daripada mereka dari Seremban dan Selangor.
"Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) IPD Port Dickson terpaksa mengeluarkan kompaun bernilai RM5,000 (setiap seorang) kerana mereka gagal patuh prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Tambahnya, orang ramai dinasihatkan agar mematuhi SOP Aidilfitri yang telah ditetapkan oleh MKN dan hanya keluar rumah apabila perlu sahaja.
Aidi Sham berkata, pasukan task force SOP PKP juga akan terus memantau ziarah Aidilfitri, bagi memastikan SOP MKN dipatuhi sepanjang Aidilfitri ini.
Sementara itu, katanya, satu kertas siasatan di bawah Seksyen 21A APPPPB 1988 (Akta 342) dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (no.4) 2021 / Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dibuka bagi menyiasat kes dakwaan terdapat pelanggaran SOP dalam Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA).
Aidi Sham berkata, pada Ahad jam 10.53 pagi, pihaknya telah menerima satu laporan polis berkaitan hantaran di dalam media sosial, berkaitan program Sambutan Aidilfitri di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di Port Dickson, yang disyaki telah melanggar SOP MKN.
"Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson memandang serius sebarang pelanggaran SOP Aidilfitri yang telah ditetapkan oleh MKN memandangkan kes semakin meningkat setiap hari," katanya.
Katanya, jika disabit kesalahan, hukuman denda tidak lebih RM 50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-dua sekali, manakala bagi Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 hukuman denda tidak lebih RM 50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-dua sekali.