ALOR SETAR - Kompleks Pekan Rabu, di sini ditutup selama tiga hari bermula Ahad sebagai langkah pencegahan untuk mengekang penularan Covid-19.
Pengerusi Koperasi Pekan Rabu, Ridhuwan Mustafa berkata, penutupan kompleks perniagaan ini bermula 16 hingga 18 Mei untuk membolehkan kerja-kerja sanitasi bangunan secara keseluruhan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, penutupan kompleks berkenaan bukanlah dibuat disebabkan jangkitan dalam kalangan peniaga.
"Dakwaan bahawa Pekan Rabu ditutup disebabkan ada jangkitan dalam kalangan peniaga hanya salah faham dan khabar angin.
"Kita tutup untuk sanitasi selepas mendapati ada beberapa pengunjung dikhuatiri memakai gelang merah jambu cuba memasuki premis," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Ridhuwan berkata, walaupun pengunjung berkenaan tidak dibenarkan masuk ke Pekan Rabu dan belum disahkan dijangkiti virus, namun warga Pekan Rabu mengambil langkah berjaga-jaga.
Sehubungan itu, katanya, kompleks peniagaan ini ditutup atas inisiatif warga Pekan Rabu untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pengunjung ke Pekan Rabu," katanya.
Menurut Ridhuwan, beliau meminta pengunjung tidak bimbang berikutan pihaknya mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ketat dan penutupan kompleks perniagaan berkenaan hanyalah untuk proses sanitasi semata-mata.