AMPANG - Nasib seorang ibu tunggal mualaf yang didakwa sudah lapan tahun tinggal di sebuah bilik stor mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada Ahad.
Kisah ibu tunggal berkenaan dilaporkan sebuah portal berita pada Jumaat lalu.
LZS menerusi kemas kini di Facebooknya memaklumkan, pihaknya menjejaki Nur Hidayah, 53, di sebuah rumah sewa di Kampung Tasik Tambahan di sini sebaik menerima laporan berita berkenaan.
Menurutnya, Nurhidayah yang berasal dari Sarawak berhijrah ke semenanjung Malaysia sejak 16 tahun lalu dan baru memeluk Islam tahun lalu di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
"Nur Hidayah menyara hidup dengan mengambil upah mencuci rumah dengan pendapatan yang tidak menentu.
"Beliau bersyukur, tuan rumah bermurah hati kerana hanya mengambil sewa mengikut kemampuannya," menurut kenyataan LZS di Facebooknya pada Sabtu.
Kenyataan itu turut menyebut ibu tunggal berkenaan layak didaftarkan sebagai asnaf mualaf kerana menetap di Selangor.
"Semasa ziarah, penolong amil kariah membawa keperluan asas dapur bagi meringankan beban di samping mencari rumah sewa yang lebih selesa untuknya. Sewa rumah dan bantuan kewangan bulanan akan ditanggung oleh Zakat Selangor," menurut kenyataan itu.
Nur Hidayah tinggal di bilik stor berkenaan atas ihsan pemilik rumah kedai berkenaan setelah keluar daripada kediaman sebelum ini kerana tidak mampu membayar sewa.
Wanita itu juga bekerja tidak tetap termasuk mengambil upah mengangkat gas ke rumah penduduk bagi mendapatkan wang untuk dihantar pulang bagi menyara anaknya-anaknya di Sarawak.