Pecut tinggalkan 100 liter petrol seludup

Iklan
Tangki minyak yang diubah suai mengandungi 100 liter petrol dipercayai mahu diseludup ke negara Thailand kerana permintaan yang tinggi.

TUMPAT - Seorang lelaki melarikan diri meninggalkan 100 liter petrol seludup di dalam kereta yang enjinnya masih hidup ketika diserbu di Pondok Haji Husin Kampung Genting, di sini petang Sabtu.

Serbuan dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Op Kontraban pada jam 3.30 petang.

Iklan
Iklan

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, semasa rondaan berkereta dalam penugasan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan, pasukan ternampak sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna biru dipandu dalam keadaan mencurigakan di lokasi pondok berkenaan.

"Anggota menghampiri kenderaan tersebut untuk tujuan pemeriksaan.

Iklan

"Menyedari kehadiran anggota, pemandu kenderaan itu bertindak memberhentikan kereta dan melarikan diri meninggalkan kenderaan dalam keadaan enjin masih hidup,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, anggota melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut dan hasilnya menemukan tangki minyak yang sudah diubah suai di belakang but.

Iklan

"Tangki yang sudah diubah suai itu mengandungi minyak petrol 100 liter dianggarkan bernilai RM205 yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

"Seterusnya anggota menunggu selama 15 minit namun tidak ada sesiapa datang menuntut kenderaan tersebut,” katanya.

Ujar beliau, kenderaan dan petrol keseluruhan bernilai RM2,205 dirampas dan dibawa balik ke Kompeni Taktikal (Komtak) Kuala Jambu untuk tindakan lanjut.

"Hasil siasatan awal mendapati minyak petrol tersebut bertujuan diseludup ke negara jiran, Thailand kerana permintaan yang tinggi,” katanya.