Suhakam kesal PBB gagal tangani krisis kekejaman Israel

Iklan
Kenyataan Suhakam pada Ahad.

SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kesal dengan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana sehingga kini masih gagal menangani krisis kekejaman tentera Israel terhadap rakyat Palestin yang berterusan.

Suhakam dalam satu kenyataan berkata, keganasan tersebut bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia dan melanggar undang-undang yang ditetapkan dalam Piagam PBB.

Iklan
Iklan

"Piagam PBB dengan jelas menyatakan bahawa ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap negara-negara lain adalah menyalahi undang-undang.

"Ia termaktub dalam Perkara 2(4) bahawa 'Seluruh anggota, dalam hubungan antarabangsanya, harus mengelakkan daripada tindakan mengancam atau menggunakan kekerasan terhadap integriti wilayah atau kemerdekaan politik suatu negara lain, atau dengan apa cara sekali pun yang bertentangan dengan Matlamat PBB'.

Iklan

"Suhakam dengan tegas mengutuk pengusiran paksa rakyat Palestin, peningkatan keganasan terhadap orang awam dan serangan udara antara Palestin dan Israel yang berlaku baru-baru ini,” kata kenyataan tersebut pada Ahad.

Mengulas lanjut, Suhakam berkata, kekejaman tentera Israel itu masih berterusan dan sehingga kini telah mengorbankan seramai 148 orang di Gaza, termasuk 41 orang kanak-kanak.

Iklan

"Suhakam bimbang dengan situasi kemanusiaan yang kritikal dan semakin parah di Palestin.

"Suhakam berharap agar keutamaan dapat diberikan kepada bantuan kemanusiaan dengan mengambil kira situasi semasa darurat. Langkah-langkah lebih berkesan perlu diambil bagi melindungi dan memelihara nyawa serta maruah setiap individu termasuk wanita dan anak-anak,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, bagi melindungi kebebasan media, serangan ganas terhadap media harus dihentikan dengan segera.

"Suhakam menyokong kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar komuniti antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan PBB segera menamatkan segala bentuk

keganasan yang dilakukan Israel dan usaha harus dilakukan untuk menyelamatkan nyawa rakyat Palestin.

"Suhakam dengan ini menyertai seluruh rakyat Malaysia dalam menyokong ikrar dan bersolidariti dengan rakyat Palestin,” kata kenyataan tersebut.