Tenaga pengajar GiatMara guna kepakaran bantu orang susah

Iklan
Khairul (tengah) ketika membantu memasang pendawaian elektrik di sebuah rumah masyarakat orang asli baru-baru ini.

JEMPOL - Biarpun jadual hariannya padat, namun seorang pengajar kanan GiatMara Tampin tetap meluangkan masa membantu memeriksa dan membaiki pendawaian elektrik di rumah golongan memerlukan secara percuma.

Khairul Adzahar Mohd Raji, 46, berkata, dia berbuat demikian kerana ingin berkongsi kegembiraan dengan golongan kurang kemampuan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia menyedari kesulitan dihadapi golongan seperti asnaf, anak yatim dan ibu tunggal apabila kediaman mereka tidak mempunyai pendawaian elektrik yang sempurna atau rosak.

"Saya ada terbaca berita di akhbar mengenai sebuah rumah hangus dalam kebakaran berpunca daripada litar pintas disebabkan pendawaian elektrik tidak sempurna. Keadaan ini benar-benar meruntun hati saya.

Iklan

"Lebih menyedihkan apabila kejadian itu melibatkan kediaman anak-anak yatim, asnaf dan mereka yang kurang berkemampuan sehingga ada yang meragut nyawa," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Khairul Adzahar berkata, dia berasa tidak senang sekiranya ilmu, kemahiran dan kepakarannya dalam bidang elektrik selama 25 tahun itu tidak dimanfaatkan sebaiknya.

Iklan
Khairul menunjukkan antara kerja-kerja pendawaian yang dilakukan.

"Jika kebanyakan orang menghulurkan bantuan dari segi wang ringgit atau makanan, saya memilih untuk menyumbang keringat dari segi pemeriksaan dan bantuan pendawaian elektrik sejak 10 tahun lepas," katanya.

Dia yang juga Ketua Penyelaras Jabatan Pertahanan Awam Daerah Jempol berpangkat kapten berkata, semua aktiviti kebajikannya itu bagaimanapun tidak dilakukan secara sendirian.

Sebaliknya, katanya, ia turut mendapat kerjasama daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sekitar Negeri Sembilan.

"Ada juga yang pandang sinis dengan usaha kecil ini, namun saya tidak kisah asalkan saya tahu apa yang saya lakukan tanpa menggores hati sesiapa.

"Bagi mereka yang tertanya-tanya apa kerja Cikgu Adzahar ini, jangan risau. Saya tahu tanggungjawab saya sebagai pekerja, tenaga pengajar dan ketua keluarga," katanya yang juga Setiausaha Masjid Jamek Bahau.

Khairul Adzahar berkata, aktiviti kebajikan itu tidak mengganggu tugasnya sebagai tenaga pengajar GiatMara kerana ia dilakukan selepas waktu bekerja.