PELUMBA Moto3 PETRONAS Yamaha SRT, John McPhee nyata gembira apabila menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Perancis di Litar Le Mans pada kedudukan keempat.
Menurut McPhee, kejayaan itu sungguh bermakna berharap momentum tersebut berterusan selepas ini.
"Kedudukan keempat kali ini ibarat satu kejayaan besar buat saya kerana ia juga berjaya memberikan saya mata pertama musim ini.
"Ia satu perasaan yang hebat setelah saya cuba berlumba dengan tenang sejak dari awal dan mengelak melakukan sebarang kesilapan setelah melihat beberapa pelumba mengalami kemalangan.
"Pada lap terakhir saya melakukan sedikit kesilapan, namun berjaya menamatkan perlumbaan pada kedudukan keempat,” katanya sejurus tamat perlumbaan.
Sementara itu, rakan sepasukan McPhee, Darryn Binder yang menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-20 berharap memperbaiki kedudukan berkenaan pada perlumbaan seterusnya.
"Saya bermula dengan baik, tetapi terbabas dan sejak itu saya mula ketinggalan, namun saya terus berusaha dan berjaya memintas beberapa pelumba lain dan menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-20.
"Diharapkan, saya dapat memperbaiki pencapaian ini pada GP Itali di Litar Mugello 30 Mei,” katanya.