Maruah umat Islam tercalar

Iklan

PENINDASAN dan kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin sampai ke kemuncaknya menjelang hari-hari terakhir bulan Ramadan tahun ini.

Tentera Zionis pada minggu terakhir Ramadan menyerang ketika mereka menunaikan solat Tarawih di perkarangan Masjid Al-Aqsa.

Iklan
Iklan

Ketegangan timbul setelah Israel cuba mengusir warga Palestin di Baitulmaqdis timur yang dianggap Israel sebagai sebahagian dari ibu kotanya.

Perbuatan yang tidak bertamadun terhadap rakyat Palestin itu adalah peristiwa dan tragedi yang amat mencalar maruah umat Islam. Masjid al-Aqsa yang terletak di bumi Palestin adalah kiblat pertama umat Islam dan merupakan salah satu masjid suci, selain Masjid al-Haram di Makkah dan Masjid al-Nabawi di Madinah.

Iklan

Umat Islam kini bebas melawat dan beribadat di kedua-dua masjid di Makkah serta Madinah tetapi sejak Jun 1967, rejim Israel telah menakluki keseluruhan Jerusalem dan Masjid al-Aqsa apabila rejim itu mengalahkan pihak tentera Arab dalam peperangan pada tahun 1967 yang hanya mengambil masa beberapa hari.

Negara Israel ditubuhkan pada 14 Mei 1948 di atas tanah yang kecil tetapi mereka telah merampas tanah Palestin dengan kadar 77 peratus dan mengusir kira-kira 800,000 penduduk Palestin menjadi pelarian perang iaitu ketika mereka memenangi pepera-ngan dengan Arab yang lemah serta tidak punya kepimpinan antara tahun 1948 hingga 1967.

Iklan

Dalam peperangan dengan Arab pada Jun 1967 itulah, baki tanah Palestin telah dirampas termasuk Tebing Barat, Timur Jerusalem dan Genting Gaza. Rejim itu juga telah menakluki Pergunungan Golan dari Syria dan semenanjung Sinai dari Mesir. Akibatnya kira-kira 300,000 lagi rakyat Palestin menjadi pelarian perang terpaksa meninggalkan tanah air mereka.

Tetapi Sinai telah dikembalikan kepada Mesir ketika Mesir memenangi peperangan dengan Israel pada 1974 dengan beberapa syarat dikenakan termasuk perjanjian damai dengan Israel dan bantuan kewangan daripada sekutu Israel, Amerika Syarikat (AS).

Pada 2005, Israel sekali lagi bermain sandiwara iaitu mengundurkan tentera dan rakyatnya dari Gaza supaya Gaza menjadi kawasan penduduk Palestin sepenuhnya, yang kemudiannya ternyata bahawa Gaza telah menjadi penjara terbuka yang besar bagi rakyat Palestin kerana lautan serta ruang angkasanya dikuasai Israel.

Agenda

President Donald Trump ketika memenangi kerusi Presiden AS ke-45 pada 2017 telah melaksanakan agenda pertamanya memerangi gejala Islamo-phobia dengan tindakannya mengharamkan orang Islam dari tujuh buah negara Islam memasuki negaranya.

Keangkuhan sikap Trump dan persepsinya yang amat menyeleweng terhadap umat Islam, maka pada hari Rabu, 6 Disember 2017, Trump telah membuka satu sejarah baharu bagi kedaulatan negara Yahudi dengan mengisytiharkan Jerusalem sebagai ibu kota negara Yahudi menggantikan Tel Aviv

Hal itu menjadi semakin parah ketika beberapa negara Arab sendiri yang telah mengakui kedudukan negara Israel dan menjalinkan hubungan diplomasi dengan rejim yahudi itu baru-baru ini tanpa sebarang permua-fakatan antara negara-negara Arab sendiri dan menjarakkan perhubungan politik antara sesama negara Islam.

Ia menambahkan kekuatan pihak negara Israel untuk mempermainkan politik negara Islam, sedangkan pemerintah Palestin masih menganggap Timur Jerusalem sebagai ibu kota negara mereka pada masa akan datang.

Pada awalnya umat Islam boleh berharap dengan kejatuhan Trump dan kenaikan penggantinya, Presiden Joe Biden, mungkin nasib Palestin serta rakyatnya akan mendapat sedikit cahaya kebebasan dan terlepas daripada segala penyiksaan yang telah lama mereka derita selama ini.

Namun, kita hanya mungkin dapat berdoa kepada ALLAH SWT, sedangkan dasar Zionis antarabangsa tidak mungkin berubah, tambahan pula terdapat segelintir negara Islam sendiri yang tidak mengenal istilah perpa-duan dan pergerakan bersama.

Negara kecil, Malaysia sahaja yang telah lama mengambil tindakan tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan negara Israel.

* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia