SHAH ALAM - Warga Selangor yang disahkan positf Covid-19 dinasihatkan ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di daerah masing-masing untuk tindakan lanjut serta rawatan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak sembilan CAC di Selangor iaitu Kuala Langat, Petaling, Sabak Bernam, Klang, Gombak, Kuala Selangor, Sepang, Hulu Selangor dan Hulu Langat.
"Jika anda dikesan positif dan ingin hadir ke CAC, sila pergi ke CAC daerah masing-masing. Ini bagi mengelakkan kesesakan di CAC terutama di Stadium Malawati (Shah Alam).
"Saya menggesa semua untuk patuh pada arahan, tidak merentas negeri dan pergi ke CAC yang berdekatan bagi memudahkan urusan," katanya dalam kenyataan di Facebooknya pada Isnin.
Beliau berkata demikian sebagai respons keadaan di CAC Stadium Malawati yang sesak dengan pesakit Covid-19 seperti gambar tular di media sosial sejak Sabtu.
Amirudin dalam kenyataan berasingan sebelum ini berkata, pihaknya bersedia memberikan kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bagi menangani masalah kesesakan di Stadium Malawati termasuk penyediaan sukarelawan dan kemudahan bersesuaian.
Di peringkat awal, kerajaan negeri telah memasang khemah di luar CAC untuk kemudahan pesakit dan petugas pusat berkenaan pada Isnin.
Selain itu, kerajaan negeri dan JKNS juga sedang berbincang untuk menambah CAC di daerah Petaling disebabkan jumlah kes yang tinggi.
Namun keputusan itu bergantung kepada jumlah kakitangan dan sukarelawan perubatan serta lokasi yang sesuai.