Kerajaan digesa sokong gerakan boikot produk Israel

Iklan
Kerajaan turut disarankan mendesak masyarakat antarabangsa melakukan perkara yang sama. Gambar: Sumber Internet.

SHAH ALAM - Sekurang-kurangnya 31 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini menggesa kerajaan menyokong gerakan Boikot, Penjualan dan Sekatan produk Israel (BDS) antarabangsa dan menerima pakai semua langkah yang digariskan untuk menamatkan aparteid Israel.

Dalam kenyataan bersama, NGO terbabit berkata, kerajaan turut disarankan mendesak masyarakat antarabangsa melakukan perkara yang sama.

Iklan
Iklan

"Negara aparteid Israel perlu disekat daripada menerima ‘oksigen’ penghormatan dan normalisasi yang sangat diingininya dengan negara-negara lain.

"Keseluruhan pakej sekatan ekonomi dan pelucutan serta pemulauan dan pengasingan budaya harus dikenakan terhadap Israel oleh masyarakat antarabangsa.

Iklan

"Hanya dengan tekanan sedemikian, Israel akan berbincang mengenai perdamaian sebenar dengan rakyat Palestin,” kata kenyataan itu pada Ahad.

Kenyataan bersama 31 NGO itu antaranya termasuk Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) Malaysia; Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim); Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM); Persatuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT) dan Pertubuhan Mawaddah Malaysia.

Iklan

Tambah kenyataan tersebut, kerajaan perlu menyemak semula polisinya terhadap Israel agar sama dengan apa yang pernah Malaysia lakukan terhadap negara aparteid Afrika Selatan.

"Salah satu konsekuensi logik daripada langkah tersebut adalah dengan menolak sebarang sokongan lanjut untuk penyelesaian dua negara.

"Israel, sebagai entiti penjajah, sudah semestinya akan didorong rasa terdesak untuk melakukan pembersihan etnik dan mengusir penduduk pribumi dari wilayah yang dikuasainya.

"Dalam memastikan usaha tersebut berjaya, Israel terbukti membelakangkan banyak undang-undang dan resolusi antarabangsa yang menuntut hak asasi rakyat Palestin dihormati,” menurut kenyataan mereka.

Dalam pada itu, katanya, perbincangan mengenai penyelesaian konflik Israel dan Palestin kekal sebagai retorik kosong bagi media negara-negara barat yang hipokrit.

"Ia hanya membolehkan mereka mengulangi harapan untuk melihat keamanan di wilayah-wilayah yang bersengketa melalui penyelesaian dua negara sedangkan amat jelas di mata mereka bahawa harapan tersebut sebenarnya tidak ada," kata mereka.