BACHOK - Seorang warga emas meninggal dunia di atas bumbung rumah di Kampung Kubang Golok, Perupok, di sini akibat serangan jantung ketika membersihkan daun kering, petang Ahad.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Suprintendan Mohammad Ismail Jamaluddin berkata, kejadian yang berlaku ke atas Ghazali Muda, 63, disedari adiknya, Salbiah Muda pada jam 6.30 petang.
Menurutnya, Salbiah menyedari mangsa tidak turun dan meminta bantuan jiran yang kemudian memanjat bumbung rumah itu.
"Mangsa yang menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi memanjat bumbung dengan menggunakan tangga kira-kira jam 5.30 petang tetapi tidak turun sehingga 6.30 petang.
"Adik mangsa yang pelik kerana tidak mendengar bunyi pergerakan meminta bantuan jiran untuk melihat abangnya,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Isnin.
Beliau berkata, Salbiah kemudian menghubungi talian kecemasan dan petugas Pusat Kesihatan Bachok yang tiba mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
"Polis serta Pasukan Bomba dan Penyelamat yang tiba membantu menurunkan mayat dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan bedah siasat mendapati mangsa mati akibat serangan jantung,” katanya.
Menurut Mohammad Ismail, mangsa sebelum ini pernah menjalani pembedahan jantung di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan menerima rawatan susulan di hospital berkenaan.
"Hasil siasatan di atas bumbung rumah berkenaan tiada sebarang objek yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah atau kecederaan pada badan.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut akibat serangan jantung,” katanya.