JOHOR BAHRU - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyasarkan perolehan sebanyak RM500,000 menerusi kesinambungan kerjasama Unit Kampus Edupelancongan dengan enam agensi pelancongan untuk tempoh tiga tahun.
Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof Dr Azlan Ab Rahman berkata, pihaknya turut menyasarkan jumlah kedatangan pelawat ke institusi pengajian tinggi (IPT) itu meningkat kepada 60,000 dalam tempoh sama.
Menurutnya, UTM telah menubuhkan inisiatif Kampus Edupelancongan sejak 2009 dan mengorak langkah secara agresif untuk menambah baik kemudahan infra dari semasa ke semasa serta pelbagai pakej.
"Data telah menunjukkan sejak pelancaran Visit My Campus pada Ogos 2015, bilangan pelawat yang berkunjung ke UTM telah meningkat kepada 13,578 berbanding 11,333 pada 2014 dan terus meningkat pada tahun berikutnya iaitu 15,753 pada 2016 dan 20,323 pada 2017.
"Sejumlah RM261,658.38 pendapatan diperoleh pada 2016 berbanding RM92,356.42 pada 2015," katanya.
Beliau berkata bersempena Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UTM dan agensi pelancongan untuk mempromosikan pakej edupelancongan UTM Visit My Campus 2.0 (2019 hingga 2022).
Sehubungan itu, kerjasama dengan enam agensi pelancongan untuk tiga tahun itu diyakini akan meningkatkan jumlah pelawat ke UTM menerusi 38 pakej edupelancongan yang diberi nafas segar kali ini.
Enam agensi tersebut ialah Suria Excellence Travel & Tours Sdn Bhd; PS Holidays Com Sdn Bhd; Honeyzone Travel & Tours Sdn Bhd; JSG Holidays Sdn Bhd; Yettosee Asia Travel & Tours Sdn Bhd dan A&A World Vacation Sdn Bhd.
Sebelum ini, UTM turut telah menjalin kerjasama tiga agensi pelancongan lain termasuk PS Holidays Com Sdn Bhd sejak 2015 untuk tempoh tiga tahun juga.
Azlan berkata, untuk pakej pelancongan UTM Visit My Campus versi 2.0 ini, ia merangkumi lawatan berpandu berkonsepkan edupelancongan ke fakulti-fakulti dan pusat kecemerlangan di UTM kampus Johor Bahru.
"Antara lokasi tersebut termasuklah adalah hutan rekreasi, balai cerapan, taman dan rumah tropika, taman rusa, dusun da ladang buah-buahan serta sebagainya," katanya.
Beliau berkata, pada masa kini, kira-kira 30 peratus pelawat antarabangsa mengunjungi UTM dan diharap selepas MoA ini, agensi pelancongan terlibat akan meningkatkan promosi mereka di kalangan golongan tersebut.
"70 peratus pelawat adalah orang tempatan dan selebihnya dari luar negara terutamanya dari Singapura, Filipina, Indonesia dan sebagainya," katanya.