MELAKA - [DIKEMAS KINI] Seramai 321 mangsa banjir di negeri ini ditempatkan di empat buah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel Cuthbert John Martin Quadra berkata, empat PPS tersebut ialah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai yang menempatkan seramai 102 mangsa daripada 22 keluarga, SMK Tun Mutahir (124 mangsa daripada 26 keluarga) dan Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Tanjung Minyak (40 mangsa daripada 12 keluarga).
"Satu PPS juga dibuka di daerah Alor Gajah iaitu di Dewan Japerun Durian Tunggal membabitkan seramai 55 mangsa daripada l13 keluarga yang terjejas termasuk daripada Kampung Bukit Balai Durian Tunggal.
"Setakat ini belum ada PPS dibuka di daerah Jasin," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian pada Isnin mendapati beberapa kawasan sudah mula surut, manakala jalan yang terputus hubungan sudah mula dilalui kenderaan seperti di Sungai Putat dan Bukit Beruang.
ARTIKEL BERKAITAN: Melaka dilanda banjir
Salah seorang mangsa banjir, Saloma Mohd Said, 44, berkata, rumahnya dinaiki air pada jam 8 pagi.
Menurutnya, air naik terlalu pantas sehingga dia hanya sempat menyelamatkan dokumen penting dan banyak perkakas elektrik serta perabot tidak dapat diselamatkan.
"Memang tak sangka hujan begitu lebat kali ini menyebabkan air sungai berdekatan melimpah dan masuk ke dalam rumah. Kira-kira setengah jam, air naik deras dari paras betis ke paras pinggang saya.
"Walaupun banyak harta benda tak dapat diselamatkan, namun bersyukur emak saya yang terlantar sakit dan anak-anak dapat selamat," katanya ketika ditemui di PPS Tun Mutahir di sini,
Guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) itu berkata, banjir kali ini paling teruk berlaku berbanding kejadian pada tahun 2004.
Seorang lagi mangsa, Hazman Mohd Dom, 60, berkata, dia tidak menyangka hujan lebat menyebabkan rumahnya ditenggelami air.
"Selalu air bertakung di laman rumah sahaja, tapi kali ini memang teruk. Walaupun dapat selamatkan kereta tetapi sudah dimasuki air dan saya pun tinggal sehelai sepinggang," katanya.