Ahli perniagaan tawar bayar kompaun isteri ziarah suami di SJR

Iklan
Polis mengeluarkan kompaun terhadap seorang wanita yang membawa anak-anak melawat suaminya yang bertugas di SJR Persiaran Selatan hala keluar ke Dengkil pada Sabtu.

KOTA BHARU - Seorang ahli perniagaan bersedia melunaskan bayaran kompaun berjumlah RM2,000 yang dikeluarkan ke atas seorang isteri kepada anggota polis selepas menziarahi suaminya yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di Putrajaya pada 1 Syawal lalu.

Ahli perniagaan terbabit, Datuk Sunny Ung berkata, beliau akan menghubungi keluarga itu dalam masa terdekat bagi melunaskan bayaran kompaun yang dikenakan.

Iklan
Iklan

"Saya simpati dengan nasib yang menimpa keluarga berkenaan. Walaupun sedih, tetapi ia merupakan kesalahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Bagaimanapun katanya, tindakan wanita dan anak-anaknya itu merupakan satu pengorbanan.

Iklan

Beliau berharap pihak berkuasa dapat menggunakan budi bicara dalam kes itu kerana wanita berkenaan membawa juadah hari raya kepada suami yang sedang bertugas.

Sunny berkata, difahamkan wanita berkenaan dan anaknya hadir ke SJR berkenaan menggunakan kenderaan berasingan.

Iklan

Sehubungan itu, beliau merayu pihak berkuasa memberikan penjelasan berkaitan dengan pelanggaran SOP yang dilakukan oleh keluarga berkenaan.

"Hal ini bagi memastikan masyarakat lebih jelas dengan peraturan SOP supaya tidak diulangi individu lain selepas ini," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis telah mengeluarkan kompaun terhadap seorang wanita yang membawa anak-anak melawat suaminya yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Persiaran Selatan hala keluar ke Dengkil pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, kompaun itu dikeluarkan di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 (P.U.(A) 225/2021) kerana melanggar SOP PKP dengan menziarah suami di SJR.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita bawa tiga anak lawat suami bertugas di SJR dikompaun RM2,000