PETALING JAYA - Seorang pesara wanita kerugian lebih RM1.3 juta selepas terpedaya dengan sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai bank.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang pada 1 April lalu, mangsa berusia 60 tahun menerima panggilan daripada pihak bank yang memaklumkan kad kredit didaftarkan atas namanya bagi membuat pembelian Bitcoin di satu laman sesawang sosial.
"Mangsa menafikan perkara tersebut dan panggilan itu kemudian kononnya disambungkan ke Bank Negara.
"Seterusnya, mangsa memberikan maklumat peribadinya kepada pihak 'Bank Negara' itu untuk membuat laporan polis bagi menafikan kad kredit yang didaftarkan atas namanya," katanya melalui kenyataan pada Isnin.
Mohamad Fakhrudin berkata, mangsa menerima salinan laporan polis melalui WhatsApp dan panggilan telefon itu kononnya disambungkan kepada pihak polis pada jam 9.02 pagi keesokan harinya.
"Mangsa diminta memberikan semua maklumat akaun bank untuk memperbaharui akaunnya daripada disalah gunakan individu lain.
"Selepas itu, mangsa terima pesanan ringkas daripada pihak bank berkenaan dengan enam digit kod sebelum dia memberikan semua kod itu kepada polis yang menghubunginya," ujarnya.
Beliau berkata, pada 10 Mei lalu, mangsa membuat semakan dengan pihak Bank Negara dan mangsa dimaklumkan panggilan yang diterima adalah panggilan palsu.
"Mangsa kemudian membuat semakan dan mendapati wang di dalam akaun banknya sudah tiada.
"Mangsa memberikan maklumat berhubung tujuh akaun banknya dengan kerugian sebanyak RM1,303,710," katanya.