SEREMBAN - Hari pertama sesi Pengajaran Dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada Isnin berjalan lancar walaupun terdapat sedikit kekangan.
Itu diakui seorang guru subjek Bahasa Melayu, Mohd Badrul Azhar Zulkapli yang memberitahu, kelas atas talian PdPR dilakukannya mengambil tempoh masa selama sejam.
"PdPR ini bukanlah perkara baharu. Lebih setahun kita sudah laksanakan PdPR apabila sekolah secara bersemuka terpaksa ditutup akibat pendemik Covid-19.
"Namun masih ada pelajar yang belum dapat menyesuaikan diri dengan pembelajaran secara dalam talian, selain beberapa kekangan yang perlu mereka hadapi seperti capaian internet yang lemah, tiada alat peranti sesuai dan kekangan masa ibu bapa bekerja tidak dapat memantau kehadiran anak mereka untuk mengikuti kelas secara dalam talian.
"Bagaimanapun, tahniah saya ucapkan kepada murid yang berjaya mengikuti kelas sepanjang hari ini. Walaupun bukan 100 peratus tetapi semangat mereka hendak belajar itu tetap ada," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Tambah beliau, persediaan kelas dan modul pelajaran untuk pelajar Tingkatan Lima telah dilakukan sejak Ahad agar tiada gangguan sewaktu kelas dalam talian berlangsung.
Bagi seorang guru Pendidikan Khas, Noorizah Mat Kasim pula, pembelajaran PdPR bagi kelasnya juga tiada sebarang masalah.
Menurutnya, pengalaman semasa PdPR 2.0 lalu banyak membantu melancarkan pembelajaran secara dalam talian.
"Kali ini murid-murid lebih bersedia. Walaupun ada beberapa masalah seperti capaian internet yang lemah dan kekurangan data, namun itu tidak mengganggu proses pembelajaran secara dalam talian.
"Tempoh kelas secara dalam talian bergantung kepada guru. Biasanya antara sejam atau sejam setengah. Yang penting kita dapat pantau kehadiran pelajar mengikuti kelas pada hari itu," katanya.
Menurutnya, sekiranya tidak ada kelas secara dalam talian, guru akan menyediakan modul pelajaran secara video dan dihantar di Google Classroom atau mengunakan aplikasi kumpulan WhatsApp serta Telegram.
Pada 26 April lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, sesi pembelajaran selepas cuti Aidilfitri akan diteruskan dengan PdPR selama dua minggu bagi menggantikan sesi bersemuka di sekolah.