KUALA LUMPUR - Insiden jenayah yang terpencil tidak seharusnya merosakkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sehubungan itu semua pihak perlu berfikir dan bertindak secara rasional dalam menangani isu kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.
"Rakyat Malaysia telah mengecapi kehidupan yang aman dan harmoni sejak sekian lama.
"Janganlah kerana insiden jenayah yang terpencil ini kita sanggup merosakkan perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama. Janganlah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga," katanya di sesi Dewan Rakyat, hari ini.
[ ARTIKEL BERKAITAN: Pasukan petugas khas ditubuhkan siasat isu kuil ]
Beliau berkata demikian sebagai penjelasan kepada Dewan Rakyat berhubung isu kekecohan di kuil berkenaan yang bermula sejak awal pagi Isnin.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja mengganggu-gugat keamanan dan ketenteraman awam.
"Terutamanya dengan mengapi-apikan sentimen perkauman. Tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil oleh pihak berkuasa demi mempertahankan perpaduan kaum, keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.