'Hanya masa dapat tentukan'

Iklan
Fadhil (kanan) antara pelumba muda berbasikal trek negara yang menyerlah ketika ini.

"{DIKEMAS KINI] HANYA masa yang dapat tentukan," demikian reaksi pelumba negara Muhammad Fadhil Mohd Zonis sekiranya beliau mampu menggantikan jaguh berbasikal trek kebangsaan, Azizulhasni Awang pada satu hari nanti.

Muhammad Fadhil yang masih segar dengan kejayaan merangkul emas acara keirin dan perak acara 1km ujian masa pada Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang berakhir di Hong Kong, semalam, enggan memikirkan perkara berkenaan sebaliknya mahu terus fokus meningkatkan prestasinya selepas ini.

Iklan
Iklan

"Masing-masing ada kelebihan tersendiri dan Azizulhasni itu idola saya sendiri. Saya hanya fokus kepada proses untuk menjadi pelumba yang lebih matang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau juga memberitahu pesanan dititipkan Azizulhasni yang mahu dirinya memberikan komitmen 100 peratus dan kekal fokus dalam perlumbaan sebelum aksi di Hong Kong berjaya membantunya mengharumkan nama negara dalam kejohanan berkenaan.

Iklan

Muhammad Fadhil menggegarkan Velodrom Hong Kong dengan catatan masa 10.298 saat (s) untuk muncul juara keirin seterusnya mengetepikan dua pelumba Jepun iaitu pemegang pingat perak Kejohanan Dunia 2020 dan Juara Asia empat kali Yuta Wakimoto serta pemegang pingat perak Kejohanan Dunia 2019 Yudai Nitta, yang masing-masing meraih pingat perak dan gangsa, Sabtu lalu.

Jumaat lalu, pelumba Yayasan Sime Darby yang juga pemegang rekod kebangsaan dan Asia acara 1km ujian masa meraih pingat perak dalam acara berkenaan.

Iklan

Pelumba berusia 24 tahun itu mencatatkan masa 1 minit 1.772s, ketinggalan 0.998s di belakang pemenang pingat emas dari Jerman Felix Grob yang merekodkan masa 1:00.774s manakala pelumba Sepanyol Juan Peralta membawa pulang pingat gangsa dengan perbezaan masa 1.399s.

Azizulhasni yang diberi jolokan The Pocket Rocketman pada satu hantaran pada akaun Instagram miliknya percaya Muhammad Fadhil serta seorang lagi pelumba, Anis Amira Rosidi yang merangkul gangsa acara 500m ujian masa wanita, Sabtu lalu, mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh selain mempunyai disiplin, dedikasi tinggi kepada karier sukan dan sentiasa terbuka menerima nasihat.

Sementara itu, Muhammad Fadhil menarik perhatian kejayaan membutirkan dua pingat di bumi Hong Kong tidak pernah terlintas di fikirannya susulan sudah lama tidak beraksi dalam pertandingan kompetitif selepas misi asalnya hanyalah untuk menimba pengalaman secukupnya dalam kejohanan itu.

Beliau pada masa sama mengimpikan untuk membuat kemunculan pertamanya di pentas Olimpik di Paris, pada 2024 selepas tidak berupaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun, yang dijadual berlangsung 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Dalam pada itu, beliau juga ragu-ragu susulan pandemik Covid-19 yang masih melanda dunia ketika ini menyaksikan status beberapa kejohanan masih samar dan akan berbincang bersama jurulatihnya untuk mencari kejohanan sesuai untuk disertainya selepas ini. - Bernama