Penunggang motosikal buat aksi 'wheelie' ditahan

Iklan
Rakaman seorang penunggang motosikal melakukan aksi 'wheelie' tular di media sosial.

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki ditahan pada Khamis selepas video aksinya yang menunggang motosikal secara berbahaya di beberapa lokasi di sekitar ibu kota tular di media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, rakaman video berdurasi 28 saat itu memaparkan tindakan seorang lelaki berbaju Melayu lengkap berkopiah dan berselipar menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya dan melakukan aksi 'wheelie'.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, bertindak atas laporan polis yang diterima, Unit Risikan Operasi JSPT Kuala Lumpur yang diketuai oleh Inspektor Mohammad Solihi Shafie mengesan serta menahan suspek berusia 21 tahun pada jam 7 petang, Ahad.

"Kita turut menyita sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ serta merampas pakaian yang digunakan oleh suspek dalam video tersebut.

Iklan

"Suspek kini ditahan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya," katanya,” katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, semakan rekod lampau mendapati suspek pernah ditahan sebanyak dua kali sebelum ini di atas kesalahan yang sama dan telah dihukum di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada tahun 2018.

Iklan

"Lelaki itu juga pernah diperintah melakukan Khidmat Masyarakat selama 12 bulan dan lesen memandu digantung selama dua tahun pada tahun lalu.

Zulkefly berkata, pihaknya sedang mengesan individu yang berperanan sebagai perakam aksi itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana bersubahat.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana- mana balai Polis berhampiran," katanya.