Senjata rahsia Harimau Malaya

Iklan
Skuad Harimau Malaya menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Isnin. - Foto: FAM

BARISAN pemain naturalisasi dan kacukan yang membarisi Harimau Malaya kali ini akan menjadi senjata rahsia paling ampuh untuk menempuh saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan depan.

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, kemampuan pemain seperti Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula dan Junior Eldstal mampu memberikan impak tambahan kepada skuad kebangsaan terutamanya dalam menghadapi corak permainan fizikal ketika berdepan UAE.

Iklan
Iklan

Namun, Cheng Hoe terlebih dulu akan menilai kesemua pemain berkenaan dalam dua perlawanan persahabatan awal menentang Kuwait dan Bahrain sebelum memutuskan taktikal dan gandingan sesuai dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan.

"Kami akan pantau dan nilai semua pemain baharu ini dalam dua perlawanan persahabatan yang akan memberikan gambaran terbaik untuk kesebelasan utama. Kita akan melihat sama ada pemain yang baru datang ini boleh menyesuaikan diri atau tidak dengan taktikal pasukan di dalam padang.

Iklan

"Namun, saya mahu tegaskan semua pemain ada peranan penting dalam pasukan. Setiap pemain ada kekuatan dan tanggungjawab mereka sendiri dan kami sebagai jurulatih akan sentiasa menilai kesemua pemain sebelum memutuskan barisan kesebelasan utama pasukan.

"Kami juga sedar baki tiga perlawanan akan datang ini akan sukar, jadi kami menilai segala aspek dan pelbagai kriteria setiap pemain. Kita pun buat kajian tentang pasukan UAE.

Iklan

"Dalam bola sepak kena ada keseimbangan dalam semua aspek bukan tumpuan kepada fizikal sahaja. Teknikal dan taktikal juga penting selain saya mahu semua pemain menerapkan permainan sebagai satu pasukan," katanya dalam sidang media secara maya pada Isnin.

Harimau Malaya kini dibarisi beberapa pemain naturalisasi dan kacukan seperti Liridon, de Paula, Eldstal, Brendan Gan, Mohamadou Sumareh, Dominic Tan, Corbin Ong, Matt Davies dan Samuel Somerville.

Kehadiran mereka memberikan keyakinan betapa skuad kebangsaan kali ini mempunyai kemampuan untuk mencabar UAE, Vietnam dan Thailand yang menjadi penghalang terakhir untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya.

Dalam pada itu, Cheng Hoe turut melahirkan rasa simpati kepada pemain pertahanan negara, Muhammad Syahmi Safari selepas kematian anak perempuannya yang baru lahir Jumaat lalu.

"Kami turut bersedih dengan berita tersebut. Kami di barisan kejurulatihan dan semua pemain akan sentiasa menyokongnya dalam mengharungi keadaan ini. Kami sebagai satu pasukan dan saya harap dia boleh fokus dalam sesi latihan dan memberikan yang terbaik nanti," katanya.

Tonggak pertahanan kanan Selangor FC itu dilaporkan sudah kembali menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya pada Isnin sehari selepas kesemua 20 pemain melaporkan diri pada Ahad.

Empat lagi pemain yang berpangkalan di luar negara - Liridon (Newcastle Jets), Dominic (Police Tero), Junior (Chonburi FC) dan Luqman Hakim (KV Kortrijk) akan terus diterbangkan ke Dubai bagi menghadapi baki aksi kelayakan tersebut.