Polis rakam keterangan lapan individu langgar SOP PKP

Iklan

GOMBAK - Polis merakam keterangan lapan individu termasuk lima wanita berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika sambutan hari raya di sebuah kediaman di Kampung Baru Batu Caves di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video berhubung kejadian itu yang dimuat naik seorang pemilik akaun Instagram, kira-kira jam 3.45 petang pada Isnin.

Iklan
Iklan

"Rakaman video berdurasi 16 saat itu memaparkan suasana sambutan hari raya di kediaman berkenaan.

"Perakam video adalah menantu kepada pemilik rumah dan di dalam video itu kelihatan beberapa tetamu sedang berada di dalam dan pekarangan rumah," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Iklan

Arifai berkata, semakan juga mendapati kesemua tetamu yang berada di dalam rumah itu adalah daripada kalangan ahli keluarga suami suspek (perakam).

"Ahli keluarga suami suspek juga tinggal di sebuah rumah berasingan yang jaraknya lebih kurang 20 meter daripada kediaman itu yang turut berkunjung ke rumah suspek pada hari kejadian," katanya.

Iklan

Beliau berkata, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Peraturan 17 PPPDPB 2021 (Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021).

"Kita sudah memanggil lapan individu terdiri daripada tiga lelaki dan lima wanita berusia antara 18 hingga 55 tahun untuk membantu siasatan," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial satu rakaman video yang dimuat naik menerusi platform Instagram Story oleh seorang pemilik akaun terbabit menunjukkan suasana sambutan hari raya di sebuah kediaman.

Video itu memaparkan beberapa lelaki dan wanita serta kanak-kanak berada di ruang meja makan, ruang tamu, menonton televisyen selain sekumpulan individu lain sedang menikmati juadah di meja makan di ruang hadapan kediaman itu.

SOP PKP untuk sambutan hari raya yang dikeluarkan pada 11 Mei lalu menetapkan tiada sebarang aktiviti sambutan hari raya dibenarkan termasuk ziarah hari raya, ziarah tanah perkuburan dan rumah terbuka atau jamuan hari raya.