SHAH ALAM- Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) dengan beberapa rakan korporatnya membantu 100 keluarga asnaf menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri 2021.
Ketua Komunikasi dan CSR Lotus’s, Hanim Hamdan berkata, mereka telah menerima bantuan bernilai RM600 yang mana RM300 pertama dalam bentuk barangan runcit yang disumbangkan melalui CSR dalaman Lotus’s yang dikenali Kiriman Ikhlas Raya (KIR).
Menurutnya, baki berjumlah RM300 dalam bentuk baucar disumbangkan oleh Tabung Kiriman Ikhlas (TKI), iaitu inisiatif CSR gabungan Lotus’s bersama rakan kongsi korporat, All Kurma Sdn Bhd dan pelanggan.
"Melalui inisiatif KIR, Lotus’s telah bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kelantan dan Johor serta Lembaga Zakat Selangor dan Kedah untuk pengagihan RM30,000 zakat wakalah yang disumbangkan oleh rakan-rakan sekerja Lotus’s.
"Inisiatif TKI berjaya mengumpulkan RM30,000 tambahan untuk keluarga-keluarga asnaf yang sama. Dengan setiap pembelian sekurang-kurangnya RM18 produk All Kurma sepanjang bulan April, RM1 telah disalurkan ke dana TKI,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, ramai yang terkesan dengan ekonomi kerana pandemik Covid-19 yang berlarutan ini.
"Kami berharap sumbangan gabungan yang bernilai RM600 ini dapat membantu memberi kelegaan dan kegembiraan kepada semua keluarga asnaf,” katanya.
Pengagihan barangan runcit rumah dan baucar kepada keluarga-keluarga asnaf dilakukan sepanjang bulan Ramadan dengan yang terakhir disalurkan pada 4 Mei lalu di Kuala Lumpur.