Kutipan dana Aid4Palestin capai sasaran

Iklan
Muhammad Khalil

SHAH ALAM - Perancangan Sekretariat Aid4Palestin mengumpul dana menerusi tabung Aid4Palestin bagi membantu Palestin dan rakyatnya berjalan lancar serta mencapai sasaran ditetapkan.

Pengerusi Sekretariat Aid4Palestin, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pihaknya melahirkan kesyukuran kepada ALLAH SWT dan percaya lebih banyak lagi sumbangan akan diterima dari rakyat Malaysia.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, tiga badan bukan kerajaan (NGO) utama gabungan Aid4Palestin iaitu Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia dan Cakna Palestin turut diberi amanah untuk mengumpulkan segala bentuk sumbangan daripada NGO gabungan lain.

Menurutnya, sehingga Isnin lebih 100 NGO bersetuju bersama bersolidariti dengan Palestin melalui Aid4Palestin dan kesemua sumbangan terkumpul akan diserahkan terus kepada NGO yang berwibawa serta dipercayai di Palestin.

Iklan

"Antaranya melalui Nadir An-Nuri dari Cinta Gaza Malaysia yang sememangnya dikenali ramai dan banyak membantu serta membuat kerja-kerja amal di Palestin selain beliau sendiri bermastautin di Palestin,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Muhammad Khalil menjelaskan jumlah sumbangan tersebut akan diserahkan seratus peratus tanpa diambil sebarang komisen oleh NGO-NGO terbabit demi untuk mengelakkan syak wasangka yang boleh dimanipulasi sesetengah pihak agar tidak memburukkan nama NGO-NGO terbabit mahupun Malaysia, pemimpin dan rakyatnya.

Iklan

Dalam pada itu, Muhammad Khalil berkata, satu jawatankuasa audit oleh akauntan bertauliah turut dilantik bagi memastikan ketelusan sumbangan yang disampaikan nanti.

Katanya, sumbangan diterima akan difokuskan kepada tiga aspek utama iaitu pendidikan, kebajikan dan kesihatan yang mana ketika ini ketiga-tiga aspek tersebut menjadi keperluan utama rakyat Palestin terutamanya di Semenanjung Gaza.

"Besarlah harapan agar setiap rakyat Malaysia dapat menyumbang untuk membantu Palestin dan rakyatnya demi masa depan mereka.

"Semoga segala sumbangan kita akan diberikan ganjaran dan pahala oleh ALLAH SWT dan seterusnya akan memberi manfaat kepada Palestin dan warganya,” katanya.

Sementara itu, jumlah sumbangan terkumpul sehingga tengah malam Isnin diterima Aid4Palestin seperti yang tercatat di laman rasmi Facebook Aid4Palestin adalah berjumlah RM1, 311, 116.