SHAH ALAM - Ekonomi negara dan rakyat Malaysia sangat memerlukan satu lagi suntikan fiskal pihak kerajaan dalam keadaan negara mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan sejak pertengahan Januari lalu.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh lagi menunggu ekonomi negara pulih dengan sendiri tetapi harus terus proaktif menyokong proses pemulihan.
Menurutnya, walaupun darurat dan PKP dilaksanakan lebih tiga bulan lalu, namun masih tiada apa-apa pengumuman berkaitan pakej rangsangan ekonomi baharu oleh kerajaan PN.
Justeru, kerajaan perlu segera umumkan satu lagi pakej rangsangan ekonomi bersasar untuk kumpulan individu tertentu seperti orang kurang upaya (OKU), miskin bandar, ibu tunggal dan belia menganggur serta perusahaan kecil sederhana (PKS) dalam sektor ekonomi yang masih terumbang-ambing.
"Bukan itu sahaja, pakej rangsangan ini harus memberi tumpuan terhadap individu-individu yang terlibat dalam sektor informal kerana mereka ini selalunya terlepas daripada liputan banyak inisiatif kerajaan.
"Berdasarkan data Jabatan Perangkaan, setakat tahun 2019, hampir 1.3 juta rakyat Malaysia atau 8.3 peratus daripada jumlah pekerja tergolong sebagai pekerja sektor informal," kata Faiz yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir dalam kenyataan pada Selasa.
Di samping itu, katanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa untuk mengotakan janji beliau sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lepas untuk menaikkan kadar bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM1,000.
"Sudah hampir lapan bulan beliau berjanji meningkatkan elaun bulanan, namun tidak ada sebarang tindakan setakat hari ini. Jangan jadikan janji ini sekadar gula-gula pilihan raya.
"Dalam keadaan ekonomi hari ini, kenaikan elaun RM1,000 ini sangat relevan terutama dapat mengurangkan beban ramai penerima elaun JKM seperti OKU, ibu tunggal, pesakit terlantar dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata, memandangkan kadar inflasi negara juga dijangka meningkat agak mendadak dalam bulan-bulan akan datang, kerajaan harus memastikan rakyat bersedia menghadapi cabaran kos sara hidup malah pasaran buruh terus lemah dan lebih 750,000 rakyat Malaysia, termasuk ramai graduan, masih menganggur setakat Mac 2021.
Menurutnya, kerajaan harus menggariskan pelan yang khusus untuk mendorong para majikan meningkatkan tenaga kerja mereka dan ini dapat dicapai jika kerajaan memperkenalkan inisiatif-inisiatif khas untuk mengurangkan beban kos tetap perniagaan, terutamanya PKS.
"Ramai pakar ekonomi menganggarkan PKP akan terus melemahkan proses pemulihan ekonomi negara dan berkemungkinan, sasaran kadar pertumbuhan ekonomi negara 6.5 peratus hingga 7.5 peratus untuk tahun ini tidak dapat dicapai.
"Fitch Solutions, dalam laporan terbarunya, hanya menjangkakan kadar pertumbuhan 4.9 peratus untuk tahun ini, jauh lebih rendah berbanding anggaran kerajaan.
"Kerajaan PN perlu bertindak segera memastikan kebajikan dan sosioekonomi rakyat terbela dan bukan hanya membela kepentingan politik dengan membayar elaun puluhan lantikan politik dalam kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya.