Serangan ke atas bangunan media, Perancis tuntut penjelasan Israel

Iklan
Sebuah bangunan yang menempatkan pelbagai media antarabangsa, termasuk The Associated Press, runtuh akibat serangan udara Israel di Kota Gaza, pada Sabtu. - Foto AP

PARIS - Perancis menuntut penjelasan dan alasan Israel terhadap serangan udaranya ke atas bangunan di Gaza yang menempatkan pertubuhan-pertubuhan media, kata Presiden Emmanuel Macron pada Isnin.

Beliau juga mengumumkan Paris sedang berusaha ke arah gencatan senjata bagi mengakhiri keganasan kini dalam konflik Israel-Palestin, lapor Agensi Anadolu.

Iklan
Iklan

"Keselamatan wartawan dan mereka yang bekerja untuk kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat... melindungi mereka sememangnya merupakan tanggungjawab yang sangat penting," kata Macron pada sidang media di luar Persidangan Mengenai Sudan di Paris.

"Kedutaan kami sedang menangani masalah ini (serangan) dan kami sedang menunggu penjelasan daripada Netanyahu (Perdana Menteri Israel), kami selalu berhubung dengannya," katanya.

Iklan

Kenyataan Macron itu dibuat susulan panggilan Setiausaha Negara AS Antony Blinken yang menuntut penjelasan daripada Israel kerana memusnahkan bangunan itu dalam serangan udara yang menempatkan pejabat berita Amerika Associated Press (AP) dan Al Jazeera.

Israel mendakwa bangunan komersial dan kediaman itu digunakan oleh kumpulan militan Hamas untuk operasi perisikan.

Iklan

AP telah menuntut bukti daripada Israel terhadap dakwaannya mengenai Hamas dan siasatan bebas terhadap serangan itu.

Pemantau media antrabangsa yang berpangkalan di Paris iaitu Reporters Without Borders (RSF) juga meminta:"pendakwaraya Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk menentukan sama ada pengeboman itu adalah jenayah perang."

Minggu lalu, serangan udara Israel telah memusnahkan 23 pejabat media tempatan dan antarabangsa, kata RSF dalam satu kenyataan.

Macron menambah bahawa Perancis sedang mengusahakan perdamaian bersama dengan Mesir, dan Jordan.

Pada Isnin, beliau juga mengadakan perbincangan dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi yang berada di Paris untuk persidangan Sudan.

Kenyataan daripada Elysee mengenai pertemuan Macron-Sisi menyebut mereka berkongsi kebimbangan mendalam tentang peningkatan keganasan dan permusuhan itu perlu ditamatkan.

Kedua-dua negara menyelaraskan usaha mereka menuju gencatan senjata segera. - Bernama