Pemuda cari duit mudah seludup petrol bersubdisi ditahan

Iklan
But belakang kereta juga dipenuhi dengan tong minyak

TANAH MERAH - Perbuatan seorang pemuda mencari duit mudah dengan membeli petrol bersubsidi sebelum diseludup ke Thailand terbongkar apabila dia ditahan pihak berkuasa dalam satu serbuan di Kampung Chawas, di sini petang Isnin.

Serbuan jam 3 petang tersebut dilaksanakan di bawah Op Benteng Covid Bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kota Bharu dan Tanah Merah dengan kerjasama Pasukan Polis Marin, Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Tanah Merah, Ahmad Azizi Abdul Kadir berkata, melalui maklumat risikan, pihaknya berjaya mengenal pasti suspek yang berusia 30 tahun itu sedang mengisi petrol RON95 yang bersubsidi dalam keadaan yang mencurigakan.

"Kami seterusnya membuat serbuan ke atas suspek yang tidak menyedari kehadiran pasukan dan telah berjaya menahan dia bersama 15 tong yang dipercayai digunakan untuk mengisi petrol bersubsidi.

Iklan

"Sebanyak 14 tong sudah dipenuhi minyak, hanya satu tong yang masih kosong dan tong yang berisi minyak diletakkan di atas tempat duduk belakang kenderaan yang dipandu.

"Pemeriksaan lanjut mendapati suspek telah membuat pembelian petrol dengan anggaran RM923.90 berdasarkan paparan pada meter pam tersebut.

Iklan

"Pasukan Operasi membuat sitaan terhadap minyak petrol di dalam tong-tong jerikin dianggarkan sebanyak 450 liter itu serta sebuah kenderaan yang telah diubah suai tangki tambahan dengan nilai anggaran RM5,000. Nilai keseluruhan rampasan ialah RM5,923.90," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, katanya, pemuda tersebut mengaku membuat pengisian semasa serbuan dan siasatan juga dijalankan terhadap pemilik stesen minyak kerana disyaki telah melakukan kesalahan melanggar arahan Pengawal Bekalan.

Jelasnya, modus operandi bagi penyeludupan kali ini ialah petrol bersubsidi tersebut dipercayai dibeli di sekitar stesen-stesen minyak sekitar sempadan dengan menggunakan kenderaan persendirian seterusnya dibawa ke pengkalan haram dan diseludup ke negara jiran sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Bunga.

"Dia bawa minyak tersebut ke Bukit Bunga dan diserahkan kepada pihak di sana sebelum dibawa ke Thailand.

"Dua kertas siasatan dibuka bagi kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Menurutnya, KPDNHEP Negeri Kelantan memberikan amaran kepada mana-mana peniaga atau individu dengan niat melakukan penyeludupan barangan kawalan supaya menghentikan kegiatan tersebut.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang melakukan kesalahan ini selain dikenakan hukuman denda yang tinggi.

"KPDNHEP juga sentiasa memandang serius isu barangan kawalan bagi mengelak ia diseleweng hingga mengakibatkan gangguan bekalan kepada pengguna lain serta pengguna dapat menikmati harga yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.