KUALA LUMPUR - Tiga lelaki disyaki terlibat dengan aktiviti perjudian dalam talian ditahan di sebuah rumah kedai di Taman Maluri di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, tiga lelaki berusia 46 hingga 58 tahun itu ditahan pada jam 8 malam.
Iklan
Iklan
Menurutnya, hasil pemeriksaan, salah seorang lelaki yang ditahan itu merupakan penjaga kaunter, manakala dua lelaki lagi sedang leka bermain judi dalam talian dengan menggunakan tablet.
"Dalam serbuan itu, polis merampas tiga unit tablet, wang tunai RM80 dan satu unit modem.
"Hasil siasatan awal mendapati aktiviti perjudian di premis ini telah beroperasi selama satu bulan dan hanya membenarkan pelanggan tetap sahaja memasuki premis ini di tingkat satu rumah kedai berkenaan," katanya melalui kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tindakan lanjut memotong bekalan elektrik di premis ini.
"Kesemua tangkapan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4 (1) (c) dan Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.