SHAH ALAM - Pemuda UMNO menggesa sebarang usaha pengambilalihan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) oleh WCT Holdings Berhad (WHB) melalui anak syarikat, Subang Skypark Sdn Bhd (SSSB) dihentikan serta-merta.
Ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Pemuda UMNO memandang serius isu tersebut dan menyenaraikan tujuh sebab mengapa pengambilalihan itu perlu dihentikan.
Menurut beliau, aset lapangan terbang merupakan aset strategik negara yang melibatkan keselamatan negara, ketenteraan, keterhubungan wilayah dan rancangan pembangunan ekonomi negara.
"Kawalan aset ini penting bagi menjamin kepentingan negara tidak terlepas ke tangan pihak swasta yang lebih berorientasikan memaksimumkan keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa.
Asyraf Wajdi berkata, LTSAAS adalah antara lapangan terbang yang memberi keuntungan besar kepada Malaysian Airport Holdings Berhad (MAHB).
"Hasil pendapatan digunakan untuk membiayai operasi atau subsidi bersilang lapangan terbang lain termasuklah kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Jelasnya, cadangan WHB dibuat dengan tergesa-gesa dan dilihat mengambil kesempatan ketika negara sedang dilanda pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara.
"Cadangan ini diangkat tanpa melibatkan entiti penting seperti kerajaan negeri Selangor, Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM),” katanya.
Tambah beliau, model perniagaan yang ditawarkan oleh WHB untuk LTSAAS bercorak pembangunan hartanah mewah dan gedung membeli belah untuk keuntungan jangka masa singkat semata-mata.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, cadangan WHB tidak holistik dan tersasar jauh dari Pelan Induk Pembangunan Lapangan Terbang Subang.
"MAHB menyasarkan Subang sebagai Hab Aeroangkasa Global yang boleh mencipta lebih 19,000 pekerjaan berpendapatan dan berkemahiran tinggi serta menyokong sebanyak 74,000 pekerjaan dalam keseluruhan ekonomi,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, MAHB mempunyai kepakaran dan keupayaan untuk melaksanakan Pelan Induk Pembangunan Lapangan Terbang Subang termasuklah pelaburan berjumlah RM1.3 bilion yang dibiayai sendiri oleh MAHB.
Menurutnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh meneruskan pendekatan Pakatan Harapan (PH) dalam menjual aset-aset strategik dan bernilai tinggi milik kerajaan kepada pihak swasta untuk membiayai operasi kerajaan.
Pada 6 Mei lalu, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub mendesak kerajaan agar tidak mengambil kesempatan sewaktu darurat ini (dan Parlimen tidak bersidang) ‘untuk menjual’ lapangan terbang itu kepada pihak swasta.
Jika aset penting milik negara itu jatuh ke tangan pihak lain, ia boleh menyebabkan kerugian besar sekitar RM11.9 bilion kepada Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” tegasnya.