Rakyat Palestin mohon doa umat Islam

Iklan
Abdallah menunjukkan keadaan terkini di Masjid Al-Aqsa yang merupakan kiblat para Nabi dan kiblat terawal umat Islam serta salah satu masjid yang sangat digalakkan untuk diziarahi dan menunaikan solat di situ.

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Umat Islam di seluruh dunia diseru untuk terus berdoa dan bermunajat kepada ALLAH SWT supaya rakyat Palestin terselamat daripada kekejaman yang sedang dilakukan rejim Zionis ketika ini.

Seorang penduduk Gaza, Palestin yang hampir 10 tahun menetap di negeri ini, Abdallah Ismail, 35, berkata, doa itu merupakan 'senjata' paling ampuh selain tindakan berbentuk ketenteraan yang diambil oleh para 'mujahidin' dalam melawan kekejaman rejim Zionis itu.

Iklan
Iklan

"Bantuan lain seperti duit dan sebagainya bukan kami tidak perlu, tapi apa yang lebih utama ketika ini ialah doa daripada umat Islam di seluruh dunia," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini pada Selasa.

Menurutnya, selain doa penduduk Palestin memerlukan sokongan daripada dunia dengan berkongsi maklumat tepat berkait perjuangan sebenar mereka.

Iklan

Katanya, maklumat itu penting bagi menangkis dakwaan media pro-Zionis yang melabelkan perjuangan Palestin bersifat 'militan'.

Abdallah yang fasih bertutur dalam loghat Kelantan berkata, bagi menangkis dakwaan itu dia tekad 'berjihad' menggunakan 'live' Facebook dengan menyebarkan berita sahih daripada keluarga dan rakan-rakan yang berada di bumi Gaza.

Iklan

Dia lega apabila pendedahan sebenar yang dibuat menerusi 'live' itu telah membantu rakyat negara ini memahami kekejaman dilakukan oleh Zionis.

"Keluarga saya dan rakyat di Gaza sekarang berada dalam keadaan tertekan serta ketakutan apabila kebiadaban Israel mencemarkan kemuliaan Ramadan dengan menyerang mereka di sana.

"Ibu saya sampai sekarang masih berpuasa walaupun Ramadan telah berlalu. Bukan apa kerana sudah tidak ada selera makan melihat situasi yang sedang berlaku," katanya.

Abdallah berkongsi situasi terkini Gaza kepada salah seorang wartawan, Yatimin Abdullah semasa ditemui di rumahnya di Kampung Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu.

Abdallah berkata, lebih menakutkan apabila letupan demi letupan berlaku dan lebih 30,000 penduduk Palestin kehilangan kediaman mereka di bulan mulia ini.

Menceritakan situasi sebenar di sana, Abdallah berkata, mereka hanya diberikan masa seminit sahaja untuk mengosongkan kediaman sebelum letupan berlaku.

Katanya, bagaimanapun perkara itu tidak dihebohkan kepada dunia.

Menurutnya, lebih menyedihkan lagi mangsa korban di sana juga bertambah setiap hari malah ramai kanak-kanak yang turut menjadi mangsa.

Dia berkata, seorang demi seorang penduduk di sana kehilangan kediaman dan dihalau untuk membolehkan penduduk Yahudi membina penempatan di tanah hak milik mereka.

Pada 8 Mei lalu, rejim zionis telah melancarkan serangan dan ia adalah rentetan daripada tuntutan serta dakwaan Zionis Israel yang mengatakan bahawa kawasan Masjid Al-Aqsa itu adalah Temple Mount iaitu kuil suci bagi orang Yahudi.

Ia juga adalah bertitik-tolak daripada siri gerakan penguasaan Israel terhadap timur Baitulmaqdis ketika perang Arab-Israel pada tahun 1967 dan seluruh bandar tersebut pada tahun 1980.

Bertitik tolak dari peristiwa tersebut, beberapa percubaan dilakukan oleh rejim untuk menafikan hak umat Islam terhadap Masjid Al-Aqsa.

Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat para Nabi dan kiblat terawal umat Islam serta salah satu masjid yang sangat digalakkan untuk diziarahi dan menunaikan solat di situ.