Pulau Pinang tuntut kerajaan lulus sumbangan vaksin

Iklan
Kon Yeow (tiga dari kiri) menunjukkan surat jawapan balas daripada KKM mengenai permohonan kerajaan negeri mendapatkan sumbangan vaksin pada sidang akhbar di Georgetown pada Selasa.

GEORGETOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang menuntut kerajaan Pusat meluluskan sumbangan dua juta dos vaksin Covid-19 oleh sebuah syarikat swasta untuk kegunaan rakyat di negeri ini.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, kebenaran itu perlu diberikan memandangkan kerajaan sebelum ini memberi kebenaran kepada Selangor dan Sarawak untuk mendapatkan vaksin sendiri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebelum ini sebuah syarikat swasta pernah menawarkan untuk menyumbang dua juta dos vaksin pada Februari lalu namun apabila perkara itu dipanjangkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) permohonan itu ditolak.

"Kita telah menghantar permohonan rasmi melalui Setiausaha Kerajaan Negeri kepada KKM untuk menerima sumbangan vaksin itu tetapi ditolak menerusi jawapan balas yang diterima pada 12 Mac lalu.

Iklan

"KKM dalam jawapan itu antara lain berpandangan sumbangan vaksin tersebut tidak perlu dipertimbangkan kerana kerajaan Pusat telah merangka dan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan 80 peratus populasi penduduk negara akan menerima vaksin," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, syarikat terbabit masih bersedia untuk memberikan sumbangan vaksin jenis Sinovac keluaran China dan kerajaan negeri hanya menunggu kebenaran daripada pusat untuk memberi kelulusan bagi mendapatkan sumbangan terbabit.

Iklan

Katanya, dengan menerima sumbangan itu ia akan memberi manfaat kepada penduduk di negeri ini yang sememangnya berharap untuk mendapatkan suntikan vaksin segera selepas melihat kes Covid-19 semakin meningkat kebelakangan ini.

Selain itu jelasnya, sumbangan vaksin itu juga dapat menjimatkan kos kerajaan Pusat yang mana bekalan vaksin yang diperuntukkan kepada Pulau Pinang boleh diagihkan kepada negeri-negeri lain.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang turut hadir pada sidang akhbar berkenaan melahirkan rasa marah dan kecewa dengan pendedahan yang dibuat Kon Yeow berikutan keputusan kerajaan Pusat menolak kebenaran Pulau Pinang mendapatkan sumbangan vaksin.

Guan Eng turut mencadangkan agar kerajaan negeri Pulau Pinang menerima sahaja sumbangan vaksin berkenaan malah bersedia berdepan sebarang tindakan termasuk sekiranya bekalan vaksin itu dirampas.

"Bayangkan kalau kita ada dua juta dos berapa nyawa yang boleh diselamatkan.

"Sekarang ada yang mahu menderma vaksin kenapa tidak benarkan? Jika derma politik boleh, mengapa derma vaksin tidak boleh? Ini suatu jenayah yang dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional," katanya.