IPOH - Jabatan Perhutanan Perak menahan dua buah lori di dua lokasi berasingan kerana disyaki membawa hasil hutan tanpa kebenaran termasuk buluh.
Pengarah Jabatan Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, tangkapan pertama dibuat melibatkan seorang pemandu lori pada Isnin oleh sepasukan penguat kuasa dari Pejabat Hutan Daerah Perak Selatan setelah mendapat maklumat awam berkenaan sebuah lori yang mencurigakan.
Menurutnya, semasa semakan dan pemantauan dibuat, lori yang dipandu lelaki tersebut disyaki membawa muatan hasil hutan.
"Lori tersebut telah ditahan di simpang masuk Kuala Bikam - Jalan Teluk Intan. Semasa pemeriksaan dijalankan, didapati pemandu lori membawa hasil hutan iaitu 1,000 batang buluh dan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran membawa hasil hutan dari JPNPk.
"Pemandu tersebut juga enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif dengan membuang hasil hutan yang dibawa ke tepi jalan lalu melarikan diri meninggalkan lori tersebut di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan akhbar pada Selasa.
Menurutnya, berikutan tindakan tersebut, pihak Jabatan Perhutanan Perak membuat laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bidor sehingga pemandu tersebut menyerah diri selepas menghilangkan diri selama lapan jam.
Jelasnya, hasil siasatan yang dijalankan, buluh-buluh tersebut diambil bagi tujuan dijadikan pancang untuk tanaman sayur.
Sementara itu, Mohamed Zin berkata, pada hari yang sama, pasukan penguat kuasa dari pejabat sama juga telah menerima panggilan daripada anggota yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Tol Slim River memaklumkan mengenai penahanan lori membawa muatan hasil hutan.
Menurutnya, penahanan dibuat oleh anggota bertugas di SJR tersebut selepas pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Jabatan Perhutanan Perak.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati pemandu tersebut membawa muatan 57 batang kayu jaras pelbagai spesis tanpa pas pemindah.
"Kedua-dua pemandu lori tersebut bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan polis setelah keterangan mereka diambil dan kedua-dua lori bersama muatan telah disita seterusnya dibawa ke Stor Rampasan Barang Jabatan Perhutanan Perak.
"Kedua-dua mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 68(1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 iaitu kesalahan membawa hasil hutan tanpa pas pemindah," katanya.
Menurutnya, jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya denda dan penjara itu.
Sementara itu, Mohamed Zin berkata, pihaknya ingin mengingatkan orang ramai bahawa jabatan itu akan tetap menguatkuasakan Akta Perhutanan Negara 1984 melalui pemantauan dan rondaan yang dibuat walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).