KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi pada Selasa menetapkan 28 Julai ini untuk keputusan permohonan semakan kehakiman tiga individu yang mencabar keputusan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas anggota Kabinetnya melanjutkan lesen kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd., selama enam bulan.
Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly ketika dihubungi pemberita berkata, Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam yang mewakili pemohon dan 31 responden pada pendengaran permohonan semakan kehakiman secara dalam talian (Zoom) pada Selasa.
Semakan kehakiman itu difailkan Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas, Tan Bun Teet serta dua penduduk Kuantan, Ismail Abu Bakar serta G. Ponusamy pada 8 Nov 2019 selaku pemohon, dengan kesemua mereka diwakili peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram, Dinesh Athinarayanan dan Saha Deva.
Ahmad Hanir pula bertindak bagi pihak responden pertama, Dr Mahathir serta 27 menteri Kabinet ketika itu yang merupakan responden kedua hingga ke-28, Kerajaan Malaysia dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) manakala Lynas diwakili peguam Tan Sri Cecil Abraham dan Datuk Sunil Abraham.
Pada 8 Januari 2020, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada tiga individu terbabit untuk memulakan prosiding permohonan semakan kehakiman itu.
Tiga individu terbabit antara lain memohon satu deklarasi untuk membatalkan keputusan Dr Mahathir serta 27 menteri Kabinetnya pada 15 Ogos 2019 untuk membenarkan operasi Lynas dilanjutkan selama enam bulan.
Pemohon pertama iaitu Tan, juga telah memfailkan bantahannya kepada penaksiran kesan persekitaran (EIA) dengan menunjukkan berlaku pelanggaran syarat lesen dan berlaku juga pencemaran air bawah tanah seperti yang ditunjukkan dalam laporan Jawatankuasa Penilaian Eksekutif (ERC). - Bernama