Warga asing leka main judi dicekup

Iklan
Kesemua warga asing ini ditahan ketika sedang bermain judi mesin slot.

KUALA LUMPUR - Keasyikan sekumpulan warga asing berjudi di sebuah premis di Jalan Brunei 3, Off Jalan Pudu, di sini terbantut apabila diserbu polis, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, serbuan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira jam 6.30 petang itu bertindak menahan sembilan pelanggan warga Bangladesh dan Myanmar.

Iklan
Iklan

"Kesemua warga asing ini ditahan ketika sedang bermain judi mesin slot.

"Turut ditahan adalah tiga penjaga premis terdiri seorang warga tempatan dan dua warga asing iaitu Bangladesh serta Myanmar," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan
Polis menyerbu sebuah premis perjudian di Jalan Brunei 3, Off Jalan Pudu, Kuala Lumpur pada Isnin.

Beliau berkata, polis telah merampas pelbagai barang antaranya empat monitor perjudian, empat set mesin perjudian, empat monitor, 16 kotak pertaruhan judi, empat buku catatan judi serta wang tunai RM10,213.

Katanya, kesemua suspek berusia lingkungan 17 hingga 71 tahun telah direman untuk tindakan lanjut.

Iklan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Justeru, pihaknya memohon kerjasama masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan aktiviti perjudian khususnya di daerah Dang Wangi dengan menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115999 atau mana-mana balai polis berhampiran.