TIDAK mahu bakat dimiliki hilang begitu sahaja, jaguh lempar cakera Asia Tenggara, Muhammad Irfan Shamsuddin menggesa supaya lebih ramai atlet olahraga kebangsaan kerap diberikan pendedahan menimba pengalaman di luar negara.
Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 62.55 meter itu turut menyarankan agar atlet kebangsaan lebih berani menyuarakan keinginan dan pandangan kepada persatuan sukan atau Majlis Sukan Negara (MSN) demi memajukan prestasi masing-masing ke tahap tertinggi.
Ini termasuk jika seseorang atlet itu berhasrat mengubah angin menjalani latihan atau menguji prestasi di kejohanan antarabangsa memandangkan kedua-dua perkara tersebut mampu mempengaruhi prestasi.
"Jangan biarkan mereka (atlet) hanya berada dalam negara, bagi saya kita perlu dapatkan bantuan (kepakaran) asing. Apa yang ada dalam negara bagus tetapi pada masa sama kita masih perlukan bantuan.
"Jadi sebab itu kalau nak beri pendedahan, hantar mereka keluar berlatih dan sertai kejohanan di luar negara,” katanya.
Muhammad Irfan, 25, antara atlet olahraga kebangsaan yang mencipta nama di pentas Asia Tenggara selepas mendominasi acara lempar cakera di temasya Sukan SEA dengan merangkul pingat emas berturut-turut dalam empat edisi terdahulu sejak 2013.
Namun, beliau juga dilabel sebagai atlet lantang dan 'nakal' kerana keberaniannya bersuara meluahkan ketidakpuasan hati terhadap sesuatu isu yang timbul melibatkan perkembangan prestasi atlet.
Menyentuh mengenai perkara itu, beliau berkata, apa yang diperjuangkan bukan untuk kesenangan dirinya semata-mata, sebaliknya demi rakan-rakan atlet yang menghadapi masalah tetapi enggan menyuarakan rasa terpendam.
Beliau berkata, ramai kenalan atlet tidak meneruskan karier mereka akibat kekurangan motivasi susulan masalah dihadapi, terutamanya atlet pelapis.
"Saya telah merasai apa yang atlet junior sedang lalui ketika ini, ada antaranya (tak tahan) separuh jalan kemudian berhenti. Saya mungkin ditimpa masalah kerana membuat kenyataan ini,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan tentang ketiadaan usaha menghalang atlet berpotensi daripada meninggalkan dunia sukan setelah berputus asa apabila tuntutan mereka tidak dipenuhi.
"Saya yang hendak pergi ke kejohanan pun kena sampai merayu. Demi kemajuan sukan, saya harap apa diperkatakan diterima dengan baik dan janganlah bantai balik,” katanya.
Muhammad Irfan sebelum ini pernah memuat naik status meluahkan rasa tidak puas hatinya menerusi media sosial selepas kontrak bekas jurulatihnya Frantisek Petrovic ditamatkan, selain permohonan untuk berlatih di Republik Czech dan Turki ditolak pada 2019.
Bagaimanapun, dengan menggunakan perbelanjaan sendiri yang dianggarkan melebihi RM100,000 beliau tetap berlepas ke Republik Czech untuk menjalani latihan selama 85 hari di sana.
Tindakan beliau itu dikecam oleh MSN dan Kesatuan Olahraga Malaysia, bagaimanapun perkara tersebut tidak berlarutan. - Bernama