PENAMPANG - Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda di hadapan sebuah kedai roti, Pekan Donggongon di sini pada Isnin.
Dalam kejadian jam 1.50 petang, kanak-kanak itu mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira dua jam selepas kejadian.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.18 petang.
Menurutnya, ketika kejadian seorang lelaki berusia 40 tahun yang memandu pacuan empat roda menyedari seperti terlanggar sesuatu lalu memberhentikan kenderaannya sebelum mendapati seorang kanak-kanak perempuan terbaring di atas jalan raya.
"Lelaki itu terus bergegas membawa mangsa ke QEH1, namun pada jam 4.10 petang mangsa disahkan meninggal dunia di wad kecemasan hospital terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mohd Haris berkata, siasatan lanjut mendapati sebelum kejadian mangsa bersama ibunya sedang makan di kedai berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.