SHAH ALAM - Abdul Halim Rajuly, 52, hanya mampu melihat pengebumian isterinya, Kahajadariah Baharudin, 48, yang meninggal dunia akibat Covid-19 sambil memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE).
Menurutnya, arwah Kahajadariah yang dimasukkan ke Hospital Seremban, Negeri Sembilan sejak 7 Mei lalu, turut menghidapi penyakit kencing manis dan tiroid meninggal dunia akibat Covid-19 di hospital berkenaan sekitar jam 4 pagi Selasa.
Iklan
Iklan
Abdul Halim ketika dihubungi Sinar Harian bercakap dengan nada yang sedih dan merawan hati, serta tidak banyak yang mampu diluahkan olehnya.
Menurutnya, pengurusan jenazah dilakukan pihak hospital sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam.
"Semasa arwah dikebumikan, saya boleh tengok dari jarak dekat, tetapi perlu memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE).
"Perasaan sangat sedih, tidak dapat melawat sejak dimasukkan ke hospital,” katanya.
Kahajadariah yang bertugas sebagai kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meninggalkan suami dan empat orang anak.