‘Saya tak terkejut’

Iklan
Ahmad (kiri) dikenakan hukuman penggantungan selama 15 tahun daripada terlibat dalam sebarang aktiviti sukan sepak takraw.

"KEPUTUSAN yang tidak mengejutkan kerana saya sememangnya telah jangka ASTAF akan menolak permohonan PSM.”

Itu reaksi Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia, (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail ketika mengulas keputusan Persatuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) menolak permohonan lanjutan tempoh yang dikemukakan badan induk itu untuk menangguhkan pendengaran Jawatankuasa Tatatertib ASTAF pada Khamis.

Iklan
Iklan

Ahmad berkata, ASTAF turut menolak permintaan PSM untuk menyediakan beberapa dokumen terlebih dahulu sebelum menghadiri sesi pendengaran itu pada jam 1 petang (waktu Bangkok dan 2 petang waktu Malaysia) menerusi aplikasi Zoom.

"Saya juga berasa pelik kenapa saya dilarang untuk terlibat dalam hearing PSM itu nanti. Yang dituduh adalah saya. Yang dikatakan menyebabkan berlakunya kemelut ini juga saya. Tetapi kenapa saya tidak dibenarkan hadir dalam hearing nanti?

Iklan

"Saya sudah jelaskan semua kenyataan saya sebelum ini adalah atas kedudukan saya sebagai (bekas) Timbalan Presiden ASTAF. Surat yang dihantar kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) juga atas kapasiti saya sebagai (bekas) Timbalan Presiden ASTAF.

"Saya juga berulang kali menegaskan bahawa tindak-tanduk saya tidak ada kena mengena dengan PSM. Malah, tidak ada seorang pun Exco atau Ahli Majlis Tertinggi PSM yang tahu atau ada kena mengena dengan surat yang saya hantar ke OCA.

Iklan

"Apabila saya dilarang menghadiri hearing pada 20 Mei ini, apakah neraca keadilan bisa dimahkotakan kebenaran bila mana pegawai PSM yang terpaksa menghadiri hearing nanti tidak ada kena mengena dengan tuduhan, sedangkan yang dituduh pula tidak dibenarkan hadir,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

ASTAF sebelum ini dalam surat yang dihantar kepada Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh menolak permohonan PSM untuk menangguhkan sesi pendengaran tersebut.

Menurut Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader, Jawatankuasa Eksekutif ASTAF melihat tiada keperluan untuk penangguhan tersebut, sebaliknya mengesahkan sesi pendengaran terhadap PSM yang ditetapkan pada Khamis ini berjalan seperti yang dijadualkan.

"Tindakan dia (Abdul Halim) memang cukup hebat. Apa tidaknya? Bermula dengan surat yang dihantar kepada saya pada hari pertama umat Islam berpuasa manakala tarikh terakhir PSM kena jawab surat ASTAF adalah pada malam raya.

"Tarikh hearing pula jatuh pada hari (Khamis) ketika umat Islam selepas menyempurnakan ibadah puasa sunat Syawal selama enam hari. Hebat betul Halim Kader,” ujar Ahmad yang kini digantung daripada sebarang aktiviti sukan sepak takraw selama 15 tahun.