Sahabat sejati hingga ke jannah

Iklan

SAMBIL menyusun buku di kedai IqraRead, saya bersembang dengan seorang kawan kepada staf saya yang datang berkunjung.

Anak muda ini peramah dan rajin bertanya. Ismad merupakan seorang remaja lepasan Diploma Perakaunan di sebuah kolej di Damansara.

Iklan
Iklan

Kini dia bekerja secara sementara di sebuah portal bisnes dalam talian yang terkenal.

Dalam bersembang itu kami sampai ke topik mengenai kawan. Dia bertanya saya, bagaimana mencari kawan? Jawab saya, kawan mudah ditemui walaupun sukar dicari.

Iklan

Kawan-kawan dalam media sosial mungkin sekali mereka yang tidak kita langsung kenali. Kalau kita hendak berkawan dengan seseorang di media sosial, kita kena memohon. Kalau dia suka, dia akan beri kelulusan kita berkawan dengannya.

Berbeza sekali di dunia nyata bila mana kita menjadi kawan buat seseorang melalui cara bertemu, berkenalan dan akhirnya berkawan.

Iklan

Kawan sekampung atau kawan sekolah adalah mereka yang kita kenali melalui pergaulan. Bila kerap bertemu dan masing-masing selesa, maka baharulah berkawan dengannya.

Jika tak sekepala, kita akan menjauhi. Sebab itu di dunia nyata kita jarang tertipu dengan manusia yang dah jadi kawan kita. Sebabnya di dunia siber, masing-masing boleh menyolek wajah dan hanya memaparkan yang molek-molek hingga kita tertipu dengan kesempurnaannya.

Ismad bertanya lagi, apakah saya boleh beritahunya jenis-jenis manusia yang dikatakan kawan ini?

Jawab saya, ada jenis kawan bermula kerana setempat seperti sepejabat, sekariah atau sekampung. Ada kawan kerana peristiwa seperti berkawan kerana bertemu di tempat awam seperti di restoran, bank atau mula berkenal di hospital kerana jadi mangsa Covid-19.

Ada kawan yang bermula kerana kerap bertegur sapa di media sosial.

Walau apapun keadaannya, mereka yang menjadi kawan kita tergolong dalam empat kategori.

Pertama kawan pemikiran. Kedua, kawan emosional. Ketiga, kawan spiritual dan yang keempat pula ialah kawan fizikal.

Kawan pemikiran adalah mereka yang kita berkawan tidak terbatas dengan mereka yang sekuliah. Sebaliknya, inilah orang yang kita cari bila kita inginkan pandangannya.

Misalnya bila kita hendak mula berniaga, menukar kerjaya, memilih bidang kerjaya mahupun bercakap tentang politik, inilah orang yang kita akan cari.

Kita mungkin tidak perasan bahawa inilah orang yang boleh kita ajak berbincang, berhujah dan juga bertengkar.

Kawan emosional pula adalah mereka yang kita cari apabila kita hendak melepas perasaan marah, benci dan susah hati pada seseorang.

Dia akan mendengar segala luahan perasaan kita tetapi dia tidak semestinya boleh menyelesaikan masalah tetapi sudah cukup memberi the listening ear kepada kita.

Golongan kawan spiritual ini adalah teman kita bertanya pelbagai hal-hal keagamaan.

Hal-hal seperti mendapatkan pandangan mengenai hukum-hakam pergaulan dan perbuatan yang bersangkutan dengan agama.

Kawan fizikal pula ialah kawan untuk beriadah. Kawan untuk sukan futsal, bolasepak, badminton dan berbasikal adalah tergolong dalam kategori ini.

Aktiviti fizikal mengalirkan hormon seperti endorfin yang akan menghilangkan segala stres dan kesakitan. Inilah kawan-kawan untuk melepas segala emosi secara terkawal.

Sehingga mana kita boleh berkawan dengan seseorang, tanya Ismad.

Dia bertanya kerana ingin mencari kawan untuk dijadikan sahabat.Menurutnya kawan-kawannya yang ada tidak ramai yang kekal. Katanya lagi, bila tak bertemu terus tidak bertanya khabar.

Kini, Ismad bertanya saya satu soalan yang memang saya hendak jawab sebagai kesimpulan kepada ilmu mencari kawan.

Saya bertanya Ismad, ‘Awak hendak masuk syurga atau neraka?’ Meskipun tampak sedikit tersentap dengan soalan saya, dia jawab, ‘syurga.’

Saya bertanya lagi, ‘Kalau Ismad hendak masuk syurga, berikan saya 10 nama mereka yang dijamin syurga.’ Ismad kelihatan bingung dengan soalan saya.

Lalu saya memberitahunya, ‘Pada hari ini kita ingat puluhan nama-nama mereka yang berperangai untuk menjadi bakal ahli neraka. Kalau kita hendak bersahabat, carilah mereka yang berperibadi seperti ahli syurga.

Carilah mereka yang akan terus menjadi teman-teman hingga ke jannah. Mereka akan bertanya ALLAH sekiranya kita tiada bersama mereka. Inilah kawan yang sebenar.

Berbeza sekali di dunia nyata bilamana kita menjadi kawan buat seseorang melalui cara bertemu, berkenalan dan akhirnya berkawan.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian