KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa kerajaan mengambil langkah segera untuk melindungi ibu mengandung yang telah menerima vaksin AstraZeneca (Ibu AZ).
Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata demikian sebagai mengulas pengumuman yang dibuat oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar baru-baru ini bahawa garis panduan klinikal semasa menyatakan kedua-dua vaksin Sinovac dan AstraZeneca tidak sesuai buat masa ini untuk ibu yang hamil.
Beliau mengalu-alukan penjelasan tersebut namun menurutnya, pengumuman tersebut agak terlewat dan telah menimbulkan keresahan dalam kalangan para ibu yang telah menerima vaksin tersebut menerusi program sukarela AstraZeneca bermula pada 5 Mei iaitu hampir dua minggu sebelum pengumuman tersebut dibuat oleh menteri berkenaan.
"Kesan sampingan kepada Ibu AZ dan bayi mereka masih belum dapat dilihat dan ini tidak boleh dipandang ringan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Susulan itu katanya, beliau menggesa kerajaan segera menggunakan Dana Kecederaan Vaksin Covid-19 oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk melindungi Ibu AZ yang telah menerima vaksinasi mereka dalam tempoh 5 hingga 17 Mei lalu.
"Ibu AZ yang mengalami kesan sampingan selepas vaksinasi ini diberikan jaminan jumlah pampasan antara RM50,000 hingga RM500,000.
"Perkara ini juga harus terpakai kepada ibu yang hamil atau yang sedang menyusu dan telah menerima vaksinasi Sinovac sebelum pengumuman menteri berkenaan," katanya.
Selain itu katanya, kerajaan juga perlu membuat tindakan susulan daripada aspek perubatan mengenai suntikan dos kedua mereka.
"Langkah seterusnya adalah menyediakan arahan yang jelas di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk memastikan ibu yang hamil dan ibu yang menyusu mengetahui risiko yang terlibat," katanya.
Isnin lalu, Khairy Jamaluddin menerusi sidang akhbar mingguan berhubung perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) secara maya berkata, ibu mengandung dan menyusukan anak hanya disaran mengambil vaksin Covid-19 keluaran Pfizer.
Menurutnya, kedua-dua kumpulan itu tidak disarankan untuk menerima vaksin Sinovac dan AstraZeneca kerana data keberkesanan dan kesan sampingan membabitkan dua vaksin itu kepada kumpulan terbabit tidak mencukupi.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Hanya vaksin Pfizer-BioNTech sesuai untuk ibu hamil'