Dua pelesit rempit 'superman' tular ditahan

Iklan
Aksi 'superman' salah seorang suspek. - Foto Ihsan polis

SEGAMAT - Tindakan sekumpulan remaja menunggang motosikal secara berbahaya dan beraksi bagai 'superman' membawa padah apabila polis menahan dua lelaki dipercayai pelesit rempit, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, kedua-dua suspek berusia 17 dan 18 tahun itu ditahan kira-kira jam 5 petang sebaik sahaja keterangan mereka diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penahanan itu dibuat susulan daripada video tular berdurasi 1.19 minit dalam Instagram dengan tajuk 'Selamat Hari Raya Segamat Town', yang menunjukkan aksi sekumpulan pelesit rempit menunggang motosikal secara berbahaya di sekitar kawasan Bandar Segamat dan Jalan Muar-Segamat pada Isnin.

"Berdasarkan video berkenaan, kumpulan pelesit rempit ini bertindak menunggang motosikal sambil mengangkat tayar hadapan (wheelie) dan berlagak seperti 'superman' dengan menunggang dalam keadaan laju sambil menundukkan kepala ke 'speed meter' dan meluruskan kedua-dua kaki ke belakang di atas tempat duduk.

Iklan

"Malah, mereka turut menunggang dalam keadaan laju dan secara berbahaya sambil membuat aksi 'zig-zag' dengan mencelah di antara kenderaan lain.

"Selain itu, kita dapati mereka menunggang motosikal secara berkumpulan dengan tidak mematuhi peraturan serta mengabaikan isyarat lalu lintas sambil berlegar-legar di persimpangan lampu isyarat di tengah-tengah Bandar Segamat yang menghalang lalu lintas.

Iklan

"Aksi-aksi tersebut bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah turut merbahayakan pengguna jalan raya yang lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Jelas Raub, kedua-dua suspek direman sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya selain motosikal yang digunakan mereka pada masa kejadian turut disita.

Tegasnya, saki baki mereka yang terlibat dalam kejadian tersebut akan dikesan dalam masa yang terdekat.

"Ibu bapa turut diingatkan agar sentiasa mengawasi kegiatan anak-anak remaja mereka agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan jenayah atau sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang negara.

"Orang ramai juga digesa supaya sentiasa menjadi mata dan telinga pihak polis dengan menyalurkan maklumat berkenaan kegiatan samseng jalanan dan juga sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah," katanya.